Semasa

2 pakar forensik buat laporan polis, dakwa diugut saksi lain agar bersetuju kecederaan Adib berpunca dari pintu EMRS

By  | 

Dua pakar forensik yang menjadi saksi pakar bagi prosiding inkues kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim, terpaksa membuat laporan polis di IPD Subang Jaya pada Sabtu lalu selepas mendapat ugutan serta cubaan mempengaruhi penilaian mereka berhubung kes itu, lapor Malaysia Gazette


Salah seorang pakar forensik mendakwa, seorang lagi saksi pakar telah cuba menyakinkannya serta seorang lagi saksi lain untuk menandatangani surat persetujuan bahawa kecederaan di bahagian dada kanan dan lengan atas sebelah kanan Adib adalah berpunca daripada pintu kenderaan EMRS. 

“Saya membuat laporan ini kerana beliau telah cuba pujuk dan yakinkan saya dan Dr. XX, di luar prosiding mahkamah, untuk bersetuju mengesahkan kecederaan di dada kanan dan lengan atas kanan berpunca dari pintu kiri kenderaan EMRS. 


“Selain itu, saya merasa tidak berpuas hati dengan kata-kata beliau “Jika tidak bersetuju, either you going down or I’m going down…”,” katanya memetik laporan dari Malaysia Gazette hari ini. 


Seorang lagi saksi pakar berkata, tindakan pihak berkenaan bukan sahaja menjejaskan integriti mereka sebagai saksi, bahkan dilihat sebagai satu perbuatan yang tidak menghormati mahkamah. 


Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Senior Asisten Komisionre Fadzil Ahmat, mengesahkan pihaknya menerima laporan itu pada jam 9:28 malam 20 April 2019. 


“Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 189 Kanun Keseksaan iaitu ugutan bencana kepada seseorang Penjawat Awam,” katanya. 


Dua pakar forensik yang memberi keterangan dalam inkues tersebut adalah Dr Ahmad Hafizam Hasmi dan Datuk Dr. Md Shah Mahmood. 


Sumber: Malaysia Gazettte

thereporter