Luar Negara

20 maut kemalangan di lombong China

By  | 

SHANGHAI: Sejumlah 20 pekerja lombong maut dan 30 mangsa lain cedera di utara China, hari ini, apabila kenderaan bawah tanah yang mereka naiki mengalami kegagalan brek dan hilang kawalan.

Menurut agensi berita rasmi kerajaan, Xinhua 15 orang maut di tempat kejadian sementara lima lagi meninggal kemudian. Katanya, 30 mangsa cedera dalam keadaan stabil.

Setakat ini, perincian lain mengenai kemalangan itu tidak dinyatakan termasuk jenis lombong terbabit. Katanya, kemalangan itu sedang disiasat.

Kemalangan maut di lombong China masih kerap walaupun kerajaan negara itu berusaha memperbaiki suasana kerja dan menjalankan operasi terhadap lombong haram terutamanya lombong arang batu.

Oktober lalu, 21 pelombong maut di wilayah Shandong, timur China akibat terowong runtuh. – AFP