Luar Negara

25 sakit minum air bercampur gam

By  | 

Bursa (Turki): Seramai 25 murid terpaksa dikejarkan ke hospital akibat jatuh sakit selepas seorang kanak-kanak lelaki mencampurkan gam dalam botol minuman mereka sebagai balas dendam kerana sering dibuli.

Mail Online melaporkan, murid berusia sembilan tahun itu masuk ke kelas ketika semua rakan-rakannya berada di padang untuk kelas pendidikan jasmani.

Dia kemudiannya membuka semua botol minuman milik rakan sekelasnya dan menitiskan gam di dalamnya sebelum menutup semula botol berkenaan.

Apabila semula pelajar yang kehausan kembali semula ke dalam kelas mereka terus meminum air berkenaan dan jatuh sakit tidak lama kemudian.

Semua kanak-kanak itu dikejarkan ke sebuah hospital di bandar ini dan doktor mengesahkan keadaan mereka tidak serius.

“Semua kanak-kanak ini tidak mengalami sakit yang teruk dan mereka dibenarkan pulang selepas rawatan,” kata jurucakap hospital Dr Efrail Atici.

Selepas membuat siasatan, seorang budak lelaki mengaku dia meletakkan gam dalam air minuman rakan sekelasnya kerana mahu membalas dendam akibat sering dibuli.

Bagaimanapun, polis memberitahu tiada tindakan diambil terhadap kanak-kanak berkenaan kerana dia masih di bawah umur. – agensi