Politik

Aiman belum puas jumpa pengundi

By  | 

HULU LANGAT: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Muhammad Aiman Zainali, mahu memanfaatkan baki lima hari berkempen untuk menemui pengundi.

Calon berusia 30 tahun itu berkata, beliau akan memberi tumpuan bertemu pengundi terutama di kawasan yang belum dilawatinya.

“Tinggal beberapa hari lagi (berkempen), tumpuan kita adalah kawasan yang dirasakan perlu kerja lebih kerana setakat ini saya dan jentera sudah bertemu kira-kira 70 peratus pengundi.

“Jadi dengan baki kempen yang masih tinggal beberapa hari lagi, saya berazam bertemu seberapa ramai pengundi supaya mereka dapat terjemahkan sokongan di atas kertas undi 2 Mac ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan tinjauan mesra di Stesen Teksi Semenyih di sini, hari ini.

Kehadiran Muhammad Aiman disambut oleh Presiden Persatuan Pemandu Teksi, Meter dan Kereta Sewa Hulu Langat, Imran Amed Pala.

Muhammad Aiman berkata, beliau akan meneruskan inisiatif arwah bapa mentuanya yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Bakhtiar Mohd Nor, dalam membantu golongan pemandu teksi.

Bagaimanapun, ketika ditanya mengenai keluhan pemandu teksi yang mengadu mengenai nasib mereka yang semakin hilang punca pendapatan, beliau berkata perkara itu akan dibincangkan jika dipilih sebagai ADUN Semenyih yang baharu. – BERITA HARIAN