Jenayah

Ajal ketika menjemput anak pulang sekolah

By  | 

KEMALANGAN yang meragut nyawa, Mariani Ahmad, 31, di simpang tiga dekat Jalan Gemas-Pasir Besar di Tampin, hari ini, dilaporkan berlaku ketika wanita itu dalam perjalanan mengambil anaknya ke sekolah.

Dalam kejadian 12 tengah hari itu, kereta Honda City yang dipandu Mariani terbabit dalam kemalangan dengan dua lori, termasuk sebuah lori milik Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Ramli Kasa berkata, Mariani difahamkan mahu menjemput anak lelaki yang bersekolah di sebuah sekolah rendah di daerah ini.

Menurutnya, ketika kemalangan, wanita itu memandu dari arah Pasir Besar ditemani seorang lagi anak lelaki berusia tiga tahun yang parah dalam kemalangan itu.

“Siasatan polis mendapati kemalangan bermula apabila lori milik SAINS dari arah Tampin berhenti di simpang tiga berkenaan.

“Tidak lama kemudian, sebuah lori produk makanan ikan kering dari arah belakang merempuh lori berkenaan lalu melungsur di tengah simpang.

“Kenderaan dipandu wanita itu gagal mengelak lalu merempuh lori terbabit,” katanya kepada wartawan Harian Metro, hari ini.

Ramli berkata, mayat wanita itu dibawa ke Hospital Tampin untuk bedah siasat, manakala anaknya yang parah dibawa ke Hospital Segamat untuk menerima rawatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sumber : Harian Metro