Agama

AJK masjid tampar OKU akan diambil tindakan sewajarnya – Amirudin

By  | 

HULU LANGAT: Seorang ahli jawatankuasa (AJK) sebuah masjid di Desa Jaya, Kepong, berkemungkinan disingkir daripada jawatannya itu jika didapati bersalah dalam insiden seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) ditampar, baru-baru ini.

Menteri Besar, Amirudin Shari, berkata Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan memutuskan tindakan sewajarnya terhadap AJK itu selepas polis menyelesaikan siasatan.

Beliau turut menekankan tidak akan melindungi mana-mana pihak yang bersalah dalam kejadian berkenaan, selain sebarang tindakan bakal diambil adalah secara adil dan tegas.

“Kita akan melihat tindakan sewajarnya terhadap beliau (AJK terbabit), mungkin diberi nasihat, amaran atau penukaran jawatan (berdasarkan hasil siasatan polis dan JAIS).

“Saya tidak mahu melindungi sesiapa. Jika terbukti ada kesalahan, beliau perlu diambil tindakan sewajarnya dan JAIS akan putuskan kerana mereka ada kod etika serta prosedur yang harus diikuti semua nazir dan AJK masjid.

“Polis sedang melakukan siasatan dan kita tidak mahu mengganggunya. JAIS atau pihak masjid harus memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis,” katanya kepada pemberita di Padang Awam Semenyih, dekat sini, petang tadi.

Beliau mengulas insiden seorang AJK masjid menampar seorang lelaki OKU sekurang-kurangnya tiga kali dan rakaman video berdurasi 28 saat itu kemudian tular dalam media sosial.

Semalam, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof, dilaporkan sebagai berkata insiden pada jam 8.30 malam 10 Februari lalu itu dipercayai berpunca daripada salah faham apabila AJK masjid berkenaan menyangkakan lelaki OKU terbabit mencuri wang tabung masjid.

Samsor berkata, mangsa berusia 18 tahun itu sebenarnya diarahkan individu lain yang juga seorang AJK masjid sama, untuk mengambil wang berkenaan tetapi berlaku salah faham.

Beliau berkata, siasatan mengenai kejadian itu masih dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Sumber : Berita Harian