Semasa

Akibat terlupa matikan suis periuk

By  | 

SEORANG peniaga Kompleks Niaga Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Limbongan, Melaka, berputih mata selepas kedai makannya hangus terbakar dipercayai akibat terlupa menutup suis periuk elektrik, awal pagi tadi.

Kejadian berlaku selepas Mohamed Ibrahim, 57, menutup operasi kedainya kira-kira jam 12 tengah malam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Kubu, Kamarulzaman Md Din berkata, saksi yang juga peniaga lot kedai makan di sebelah kiri dan kanan, memaklumkan muncul asap dari dalam kedai berkenaan kira-kira 20 minit selepas ia ditutup.

“Pada waktu kejadian, kedai makan di sebelah kiri dan kanan mahu menutup operasi. Tiba-tiba mereka ternampak asap dari pintu jeriji besi kedai mangsa.

“Pemilik kedai datang semula ke kedai selepas mengetahui kejadian dan memaklumkan dia terlupa mematikan suis periuk,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, kebakaran itu menyebabkan satu lot kedai, tiga peti ais dan peralatan memasak rosak dengan anggaran kerugian berjumlah RM30,000.

Katanya, siasatan lanjut diteruskan bagi mengesan punca sebenar.

Sumber : Harian Metro