Jenayah

Anak Ahli Parlimen PJ cedera ditikam

By  | 

ANAK lelaki kepada Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah cedera akibat ditikam dalam kejadian cubaan samun di Taman Bukit Mayang Emas, Petaling Jaya, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, kejadian berlaku ketika mangsa berusia 26 tahun sedang berjoging di kawasan perumahan berkenaan pada 6 petang.

“Seorang lelaki cuba menyamun dan menikam mangsa di bahagian perut.

“Mangsa kini berada di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan dilaporkan dalam keadaan stabil,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Sementara itu, Maria berkata, ketika kejadian anak lelaki sulungnya itu sedang berjoging di kawasan berkenaan sebelum diserang seorang lelaki dari arah belakang.

“Memang menjadi rutin bagi anak lelaki saya itu untuk berjoging setiap petang. Namun, hari ini dia berdepan dengan detik cemas apabila cuba disamun seorang lelaki.

“Berlaku pergelutan antara mereka hingga penjenayah itu menikam anak saya di bahagian perut. Malah, dia turut luka di tangan ketika pergelutan itu.

“Nasib dia baik apabila ada seorang penunggang motosikal berhenti membantunya,” katanya ketika dihubungi.

Maria berkata, keadaan anaknya stabil dan masih menerima rawatan di PPUM akibat kecederaan itu.

Sumber : Harian Metro