Semasa

‘Anak saya cirit-birit, muntah lebih 20 kali selepas makan coklat & gula-gula dalam kotak mainan’

By  | 

Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun mengalami keracunan makanan selepas makan coklat dan gula-gula yang terkandung dalam kotak mainan yang dibeli bapanya dari sebuah kedai runcit di Taman Sri Gombak, Jumaat lalu.


Salahuddin Haris Yoganathan, 38, berkata, anaknya, Asha Azaleah Natasha Nathan, 6, mengalami muntah dan cirit-birit selepas makan makanan itu dan ditahan di hospital selama empat hari. 


“Anak saya terkena keracunan makanan berpunca dari makanan dalam kotak mainan di gambar berikut. Dah empat hari anak saya muntah dan cirit-birit. Hari pertama saja anak saya muntah lebih 20 kali,” katanya. 


Difahamkan, dia membeli makanan ringan itu kerana anaknya mahukan mainan di dalam kotak tersebut dan sebelum ini dia pernah membeli benda yang sama tetapi tidak pernah timbul sebarang masalah. 


Susulan kejadian itu, Salahuddin bertemu dengan peniaga kedai runcit berkenaan dan membuat semakan pada maklumat yang tertera pada kotak makanan ringan itu yang turut tertera logo halal. 


“Selepas jumpa dia,saya tanya pasal barang yang dia jual dan dengan selamba dia boleh kata, “Boss, ini barang memang tak boleh makan. Itu mainan takpa. Sorry boss, lupa bagitahu.” 


“Masa tu memang saya nak bagi dia makan helmet apollo limited edition tapi saya fikir dia ni orang tua, orang susah dan dia pun mencari rezeki anak bini dia,” katanya. 

Laporan polis dan aduan kepada Kementerian Kesihatan juga telah dibuat untuk tindakan lanjut. 


“Saya berharap pihak berkuasa bertindak segera dengan melakukan pemantauan berterusan dan mengambil tindakan sewajarnya supaya tiada lagi kanak-kanak menjadi mangsa. 


“Bagi ibu bapa pula, jadikanlah apa yang berlaku terhadap anak saya sebagai pengajaran untuk anda lebih berhati-hati,” katanya. 


Sumber: Harian Metro, Salahuddin

THEREPORTER