Semasa

Anak tahu ayah sudah tiada

By  | 

TANJUNG MALIM 23 Feb. – Walaupun masih kecil, anak-anak kepada pemandu lori minyak diesel, Mohammad Suhaimi Khamis, yang maut selepas kenderaan yang dipandunya kemalangan dan terbakar mengetahui bapa mereka telah menemui Ilahi.

Isteri kepada mangsa, Khatijah Abdul Karim, 36, berkata, anak-anaknya, pasangan kembar Mohamad Amar dan Mohamad Amir Mohamad Suhaimi, 9, serta Nor Afiqah, 8, memang rapat dengan arwah suaminya.

“Arwah keluar bekerja pada pukul 6 pagi dan memaklumkan mahu ke Ipoh. Keadaan dia nampak biasa sahaja, anak-anak memang rapat dengan arwah. Mereka tahu arwah sudah tiada,” katanya yang kini difahamkan sedang mengandung anak keempat yang memasuki bulan ketujuh.

Ketika ditemui di Rumah Mayat Hospital Slim River di sini hari ini, Khatijah turut memohon kepada orang ramai agar menghentikan penularan rakaman video kematian suaminya itu.

Sementara itu, seorang saudara terdekat, Rokiah Mohaad, 68, berkata, dia dimaklumkan oleh Khatijah bahawa arwah sempat bertanyakan duit belanja sebelum keluar bekerja hari ini.

Allahyarham dijangka dikebumikan malam ini di Tanah Perkuburan Islam USJ 22, Subang, Selangor.

Sementara itu, Ke­tua Polis Daerah Muallim, Superinten­dan Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, sewaktu kejadian, seorang pemandu tre­ler berusia 45 tahun membawa muatan besi, memberhentikan kenderaan di lorong kecemasan kerana mengalami masalah brek angin dan seorang lagi pemandu treler lain berusia 34 tahun dari syarikat sama turut memberhentikan kenderaannya untuk menghulurkan bantuan.

“Setelah selesai membantu, pemandu berkenaan kembali ke kenderaannya untuk meneruskan perjalanan. Namun, semasa berada di dalam treler, dia melihat lori tangki minyak tersebut yang datang dari arah belakang di lorong tengah, bergerak ke arah kenderaannya lalu me­langgar belakang trelernya.
“Ekoran kemalangan itu, lori tangki minyak itu terbakar dan merebak kepada treler berkenaan.

‘‘Namun begitu, treler muatan besi yang berada di hadapan, terselamat walaupun turut dilanggar di bahagian belakang dalam kejadian tersebut,” kata­nya di sini hari ini sambil memberitahu kedua-dua pemandu terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan. – UTUSAN ONLINE