Semasa

Anggota tentera maut motosikal bertembung kereta

By  | 

ALOR GAJAH – Seorang anggota tentera maut selepas motosikal ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Pekan Ramuan Cina Besar di sini petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, mangsa, Asmezal Arjan, 35, yang bertugas di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Seksyen 2 Wangsa Maju, Kuala Lumpur meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala. 

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha RXZ dalam perjalanan dari arah Lubok Cina menghala ke Masjid Tanah. 

“Setiba di kawasan berselekoh, motosikal ditunggang mangsa telah hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah kereta jenis Proton Persona. 

“Akibat kemalangan itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu wanita berusia 30 tahun terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. 

Katanya, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE