Semasa

Anggota tentera parah rempuh kereta ditinggalkan di tengah jalan

By  | 

TEMERLOH: Seorang anggota tentera parah selepas motosikal ditunggangi merempuh bahagian belakang kereta di FELDA Bukit Damar, Jalan Pekan FELDA Lakum, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, mangsa Koperal Ismi Wan Shah Ismail, 31, dikatakan dalam perjalanan ke tempat kerja di Mempaga, di sini, dari rumahnya di Lanchang sebelum merempuh kereta Honda Stream yang ditinggalkan di jalan raya.

Isteri mangsa, Farhah Jamaluddin, 33, ketika dihubungi berkata, suaminya kini sedang menjalani pembedahan selepas mengalami kecederaan patah tulang pinggul dan patah kedua belah tangan.

“Ketika kejadian suami hendak ke tempat kerja menunggang motosikal Kawasaki ER-6 sebelum dia dikatakan melanggar bahagian kereta yang ditinggalkan di tengah jalan raya.

“Suami saya kini sedang dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) dan laporan polis sudah dibuat rakannya, semalam,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Difahamkan Honda Stream berkenaan ditinggalkan pemandunya sejak kelmarin dan usaha pengesan pemiliknya sedang dilakukan pihak berkuasa.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Sani Harul, berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.09 pagi.

“Anggota kita tiba memberikan rawatan awal sebelum membawa mangsa ke HOSHAS untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.

Katanya, siasatan kemalangan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, satu video tular memaparkan kira-kira 10 lelaki yang berhenti di lokasi kemalangan bertindak menterbalikkan kenderaan itu.

Sumber : Berita Harian