Sukan

Anuar Abu Bakar sudah tiada

By  | 

KUALA LUMPUR: Satu Ramadan memberikan khabar duka buat bola sepak negara apabila bekas pemain kebangsaan di era 1990-an, Anuar Abu Bakar menghembuskan nafas terakhir, malam tadi.

Allahyarham yang berusia 48 tahun sebelum ini disahkan menderita kanser hati tahap empat dan mendapatkan rawatan di sebuah hospital di Shah Alam, Selangor.

Beraksi di posisi tengah dan menyerang, Allahyarham pernah menyarung jersi kebangsaan di antara tahun 1993 hingga 1997.

Antara pasukan yang pernah mendapatkan khidmat Allahyarham yang berasal dari Johor ialah Selangor, Johor, Kelantan, Pulau Pinang dan MPPJ Selangor.

Selepas menggantung but, Allahyarham turut berkecimpung dalam arena pengurusan dan antara pasukan yang pernah mendapatkan khidmatnya sebagai pembantu jurulatih adalah PKNS FC, T-Team dan Selangor.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam laman Facebook rasmi badan induk itu turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan mengampuni dosanya. Al-Fatihah. – BERITA HARIAN