Semasa

Apa dosa bayi ini?

By  | 

BAYI lelaki baru lahir dan masih bertali pusat ditinggalkan di sebuah kedai makan di Jalan Maktab, Tanjung Malim, Jumaat lalu.

Bayi ditemui berbalut dengan sehelai tuala dan diletakkan di atas meja sebelum dijumpai seorang jemaah masjid.

Jemaah terbabit kemudian menghubungi pihak berkuasa melaporkan penemuan itu sebelum bayi berkenaan dihantar ke Klinik Tanjung Malim sebelum dipindahkan ke Hospital Slim River.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Wan Kamarul Azran Wan Yusof ketika dihubungi, hari ini, mengesahkan kes berkenaan selepas menerima panggilan telefon daripada orang awam berhubung penemuan bayi itu jam 8.09 malam, Jumaat lalu.

Menurutnya, bayi itu ditinggalkan di premis kedai makan dua tingkat dan disedari seorang jemaah berusia 80 tahun, kira-kira 8 malam, selepas selesai solat Maghrib di Masjid Jamek Tanjung Malim.

“Lelaki itu singgah untuk makan malam di gerai anaknya lalu terlihat seorang bayi masih bertali pusat berada di atas meja makan.

“Bayi berkenaan dibalut sehelai tuala berwarna kelabu dan tiada kesan atau nota ditinggalkan bersama bayi ini,” katanya.

Wan Kamarul Azran berkata, lelaki itu meminta menantunya menghubungi polis apabila menyedari bayi itu masih hidup.

Katanya, hasil pemeriksaan doktor mengesahkan bayi seberat 2.34 kilogram itu sihat dan kini dirawat di Hospital Slim River.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran. HARIAN METRO