Sukan

Arena badminton dunia terkesan persaraan Chong Wei

By  | 

KUALA LUMPUR – ‘Pergi ke gelanggang bersendirian. Tiada siapa yang mengiringi saya lagi,” demikian kata legenda badminton China, Lin Dan dalam hantaran laman media sosial Weibo susulan pengumuman persaraan seteru tradisi dalam gelanggang dan sahabat lamanya, Datuk Lee Chong Wei.

Juara dunia lima kali itu turut berkongsi sebuah lagu berjudul, ‘My friend, don’t cry‘ dalam hantaran di laman sosial terbesar China itu.

Selain Lin Dan, bekas pemain Denmark, Peter Gade, yang juga bekas pemain nombor satu dunia pada 2006, turut mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Chong Wei atas kenangan manis yang dikongsi bersama selama beberapa tahun.

“Dunia badminton merindui anda dalam apa cara jua. Terima kasih atas semua detik yang kita berkongsi bersama selama beberapa tahun. Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada anda bersama keluarga dan kawan-kawan pada tahun-tahun akan datang,” katanya dalam laman Facebook rasminya.

Rakan senegara Gade, Victor Axelsen, pemain nombor enam dunia, turut mengucapkan selamat maju jaya kepada Chong Wei.

Sejak pengumuman persaraan Chong Wei petang tadi, nama pemain berusia 36 tahun itu menjadi sohor terkini dalam Twitter dengan hampir 10,000 ciapan setakat 7 malam ini.

“Legenda badminton telah membantu menyatukan seluruh rakyat Malaysia dan merentasi perkauman melalui sukan,” ciap akaun Twitter @Thashaj.

Seorang lagi pengguna Twitter @marxhyyy berkata: “Anda adalah kegemaran semua. Terima kasih, Datuk LCW. Selamat Bersara.”

Rakyat Malaysia turut membanjiri akaun rasmi Instagram Chong Wei dengan komen positif serta netizen melahirkan rasa sedih dengan pengumuman Chong Wei mengantung raketnya selepas 19 tahun mencurah bakti untuk negara di persada antarabangsa.

Chong Wei, 36, mengumumkan persaraannya pada sidang media khas di Menara Kementerian Belia dan Sukan di Putrajaya dengan dihadiri menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria. – Bernama