Luar Negara

Bayi empat bulan maut dibiarkan lapar, pakai lampin berulat, selimut dibasahi air kencing

By  | 

SEORANG ibu membiarkan anak lelakinya berusia empat bulan memakai lampin pakai buang berulat selama dua minggu sehingga meninggal dunia.

Sterling Koehn ditemui mati dalam keadaan mulutnya berdarah di dalam buai di sebuah bilik tidur di pangsapuri didiaminya bersama ibunya Cheyanne Harris pada 30 Ogos 2017.

Pada Rabu, Harris, 21, didapati melakukan pembunuhan darjah pertama selepas juri membincangkan keputusan hukuman selama lima jam di Mahkamah Daerah Plymouth, England.

Sterling meninggal dunia akibat dehidrasi, kekurangan zat makanan dan jangkitan E Coli selepas najis pada lampin pakai buangnya mula mereput.

Harris yang turut mempunyai seorang anak perempuan berusia dua tahun ditahan selepas polis menjumpai mayat Sterling di rumahnya.

Ketika ditemui berat bayi itu kurang tiga kilogram.

Malah polis berkata selimut bayi itu turut dibasahi air kencingnya.


Cheyanne Harris.

Ketika Sterling masih hidup, ulat dibiarkan merayap di bawah pakaiannya.

Pakar forensik mendedahkan Sterling turut dibiarkan bersendirian dalam bilik yang lembap selama sembilan dan 14 hari.

Peguam Harris, Nichole Watt menyifatkan kematian Sterling sebagai satu kemalangan.

Dia memberitahu juri bahawa Harris mengalami kemurungan dan mengambil dadah untuk menangani masalah itu.

Pengasuh anaknya turut dipanggil untuk memberi keterangan.

“Pertama kali saya menjaga Sterling dan anak perempuan Harris, bayi tersebut dilihat kurang menyusu dan mengalami ruam,” katanya.

Bapa Sterling, Zachary Koehn, 29, turut dijatuhi hukuman sama seperti Harris dan dia telah menjalani hukuman penjara seumur hidup sejak November lalu.

Sumber : Metro.co.uk