Semasa

Bilal ditipu rakan baik

By  | 

DUA tahun lalu nama seorang bilal menjadi sebutan apabila dia menyelamatkan 70 penduduk kampung sekitar Lengkuk P Ramlee terdiri daripada kaum Cina dan India dengan menumpangkan mereka dalam surau Taman Free School, Georgetown selepas kawasan itu terjejas kerana banjir teruk.

Tindakan bilal terbabit, Sapno Tukijo, 52, mendapat pujian ramai kerana dia lebih mementingkan nyawa penduduk tanpa mengira kaum dan agama dengan mengenepikan apa saja kata-kata orang lain yang turut mencemuhnya kerana membenarkan orang bukan Islam menumpang di surau itu.

Disebabkan pertolongan itu juga membuatkan dia menjadi perhatian dan permohonannya untuk mendapat status taraf penduduk tetap (PR) dipermudahkan selepas 23 tahun memohon.

Sikap Sapno yang memang disenangi dan dikenali jiran sebagai seorang yang rajin menolong orang lain itu sangat dihargai namun di sebalik kebaikannya itu, bilal terbabit menjadi mangsa tipu lelaki hingga menyebabkannya kerugian RM10,700 bulan lalu.

Menceritakan kembali kejadian itu, Sapno berkata, dia mengenali seorang lelaki ketika menjadi bilal di Masjid Kapitan Keling yang mendakwa kononnya boleh membantunya mendapatkan permit untuk pekerja serta memudahkan proses mendapatkan rumah kedai untuknya.

“Saya diminta keluar dari rumah sewa sejak empat bulan lalu kerana pemiliknya mahu duduk dan saya mendapat rumah wakaf di Masjid Lebuh Acheh dengan sewa RM230 sebulan.

“Ketika itu juga, saya dapat tahu ada sebuah rumah kedai untuk disewa dan cuba memohon namun gagal mendapatkannya selepas menghadiri temuduga,” katanya.

Menurutnya, ketika itulah dia mengenali seorang lelaki November lalu di Masjid Kapitan Keling dan mereka kemudian menjadi rakan baik.

“Lelaki itu memang rajin datang menunaikan solat di masjid dan dia menegur dan mendakwa mengenali saya kerana melihat wajah saya di laman sosial ketika membantu penduduk yang dilanda banjir pada 2017.

“Lama-kelamaan kami mula menjadi rakan baik dan saya berkongsi masalah dengannya dan mendakwa dapat membantu saya untuk mengembangkan perniagaan dan mendapatkan rumah kedai untuk saya,” katanya.

Menurutnya, lelaki itu memberitahu dia mengenali semua orang besar termasuk menteri dan mendakwa boleh menolongnya tetapi dengan syarat perlu membayar untuk memudahkan semua proses itu.

“Berikutan itu, saya mula membuat beberapa bayaran kepadanya yang didakwa untuk deposit sewa dua bulan rumah kedai, permit pekerja dan lesen kewangan dengan jumlah keseluruhan RM10,700.

“Wang yang saya berikan itu adalah hasil kerja kontrak yang saya lakukan selain deposit yang diberikan pelanggan,” katanya.

Menurutnya, selepas memberikan semua wang, lelaki itu berjanji membawa dia dan pekerjanya ke Putrajaya dan memberitahu akan menyerahkan kunci serta surat perjanjian kedai yang mahu disewa.

“Bagaimanapun, selepas hampir sebulan menunggu, lelaki itu terus menghilangkan diri malah tidak menjawab panggilan telefon serta membalas mesej saya,” katanya.

Menurutnya, dia membuat laporan polis berhubung kejadian dan hanya tahu lelaki itu berasal dari Ipoh, Perak.

“Kerana terlalu percaya, saya langsung tidak mengambil tahu latar belakang lelaki terbabit.

“Saya hanya berharap dia dapat memulangkan kembali wang itu kerana saya bukan orang kaya dan perlu menanggung perbelanjaan lima anak yang kini masih menuntut di universiti,” katanya.

Sumber: Harian Metro