Semasa

Bomba tidak terbabit pengecilan penjawat awam – Zuraida

By  | 

BUTTERWORTH: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yakin Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) tidak terbabit dalam pengurangan jumlah penjawat awam di negara ini.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin, berkata bomba sering berhadapan dengan kekangan bantuan sehingga banyak bergantung kepada pasukan bomba sukarela yang ditubuhkan komuniti setempat.

Malah, beliau berkata, sehingga kini terdapat lebih 2,000 kekosongan jawatan anggota bomba yang masih belum diisi di seluruh negara.

“Saya rasa bomba tidak terbabit dengan pengurangan anggota awam itu kerana kita sendiri pun banyak bergantung kepada bomba sukarela.

“Malah balai bomba pun masih tidak cukup lagi, masih banyak permintaan di beberapa tempat yang belum kita penuhi,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Kempen Keselamatan Pencegahan Kebakaran dan Pelancaran Program SURI di sini, hari ini.

Khamis lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat jumlah penjawat awam yang dimiliki kerajaan ketika ini adalah terlalu besar dan perlu dikurangkan.

Dr Mahathir berkata, jumlah terkini penjawat awam adalah seramai 1.7 juta, dan ia disifatkan sebagai peningkatan mendadak sejak beliau meninggalkan pentadbiran negara pada tahun 2003.

Sementara itu, Zuraida berkata keputusan bagi permohonan tender pembelian baju kalis api anggota bomba akan diketahui April ini.

Katanya, kali ini pihaknya akan melakukan semakan tender yang lebih ketat bagi memastikan baju kalis api yang dibeli memenuhi piawaian yang ditetapkan.

“Tender dikeluarkan pada 26 Januari lalu membabitkan pembelian sebanyak 9,000 unit baju kalis api.

“Sebelum ini setiap tahun kita akan beli 6,000 unit, tetapi kerana kes sebelum ini yang menyebabkan sudah dua tahun kita tidak beli baju kalis api baharu, maka kita buat keputusan untuk beli 9,000 unit terus tahun ini,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, sembilan Balai Bomba dan Penyelamat di seluruh negara dianggap berdepan masalah kekurangan baju kalis api yang kritikal berikutan tiada pembelian baharu dibuat sejak 2017.

Ini menyebabkan anggota di balai berkenaan dikatakan terpaksa menggunakan baju kalis api ‘usang’ yang koyak atau berkongsi baju sama dengan rakan lain yang tidak bertugas jika berlaku kebakaran.

Lebih memburukkan keadaan, pembelian 6,000 baju kalis api bernilai RM13.5 juta pada 2016 dirampas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas kontraktor dilantik JBPM membekalkan pakaian yang dihasilkan daripada plastik yang mendatangkan risiko nyawa kepada penggunanya walaupun ia bernilai RM2,400 hingga RM2,500 sepasang.

Sumber : Berita Harian