Politik

‘Bossku’ tidak ganggu kempen PH -Anwar

By  | 

HULU LANGAT 23 Feb. – Kehadiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Semenyih bagi berkempen pilihan raya kecil sama sekali tidak mengganggu Pakatan Harapan (PH).

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini kerana rakyat tahu apa yang terjadi berhubung bekas pemimpin negara yang popular dengan panggilan ‘bossku’ berkenaan.

Katanya yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, apa yang dilakukan Najib, bukan perkara kecil.

“Saya tak mahu sentuh soal peribadi. Tapi soal 1Malaysia Development Bhd. (1MDB), satu dunia tahu. Saya di New York, Toronto jumpa pelabur, jumpa umat Islam, semua bangkitkan. Terkejut mereka tentang penyalahgunaan kuasa, rompakan yang berlaku.

“Tapi saya faham dalam kalangan rakyat, ada yang letakkan harapan terlalu tinggi dan dia (rakyat) rasa dengan kadar masalah harga barang, harga minyak ini, dia (rakyat) rasa kita belum dapatkan tunaikan sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sewaktu menghadiri majlis sambutan Capgome di Kampung Baru, Semenyih di sini malam ini.

Yang turut hadir pada majlis itu ialah calon PH, Muhammad Aiman Zainali dan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. A. Xavier Jayakumar. – UTUSAN ONLINE