Jenayah

Buang bayi di rumah sampah – Mulut bayi ditutup dengan tuala sebelum dimasukkan dalam beg sekolah

By  | 

KUALA LUMPUR: Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun dan teman lelakinya berusia 43 tahun ditahan susulan penemuan myat bayi di rumah sampah sebuah kuarters penjawat awam di Presint 18, Putrajaya dekat sini, semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata kedua-dua suspek, masing-masing direman empat dan dua hari bermula hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan.

Katanya, remaja perempuan itu direman empat hari sehingga Isnin depan, manakala teman lelakinya yang juga bapa kepada bayi malang berkenaan direman dua hari sehingga esok.

“Siasatan mendapati bayi perempuan dilahirkan pada Rabu lalu kira-kira jam 11.30 pagi.

“Suspek remaja kemudian menutup mulut bayi itu dengan tuala serta membalut badannya dengan selimut sebelum dimasukkan ke dalam beg sekolah yang kemudian dibungkus dalam plastik sampah dan diikat.

“Teman lelakinya kemudian membawa bungkusan plastik sampah berisi bayi itu ke rumah sampah dan meletakkannya di luar rumah sampah berkenaan bersama sampah lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, myat bayi itu dihantar ke Hospital Putrajaya bagi tujuan bedah siasat yang akan dijalankan hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan membuang bayi.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes ini boleh menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Roslina Atan di talian 019-2685008 atau Pusat Kawalan Polis Kuala Lumpur di talian 03-21460522 sambungan 584 atau 585 atau pun menghubungi mana-mana balai polis berdekatan.

“Kita juga menasihatkan ibu bapa dan masyarakat supaya sentiasa memantau pergerakan dan pergaulan anak-anak remaja mereka supaya tidak terbabit dengan gejala negatif dan anasir yang tidak baik,” kata Mazlan lagi.

Semalam, seorang pekerja Alam Flora menemui mayat bayi berkenaan ketika memasukkan sampah ke dalam lori sampah dari tempat rumah sampah di Blok D kuarters penjawat awam terbabit.

Polis yang menerima laporan kejadian itu pada jam 9.27 pagi menghantar sepasukan anggota polis bagi menjalankan siasatan.

Terdahulu : Mayat bayi dalam lori sampah

Pekerja yang melakukan kutipan dan pembersihan sampah di sebuah apartment di Presint 18 di sini dikejutkan dengan penemuan mayat bayi dalam lori kompaktor sampah pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.00 pagi itu, pekerja terbabit dikatakan menemui myat berkenaan selepas melakukan kerja-kerja kutipan sampah di rumah sampah Blok D Apartmen P13R13 di sini.

Sumber berkata, hasil pemeriksaan mendapati bayi cukup sifat itu masih bertali pusat dianggarkan berusia antara tujuh ke lapan bulan.

Katanya, Bilik Gerakan Polis menerima panggilan orang awam memaklumkan penemuan itu sebelum sepasukan anggota polis ke lokasi kejadian.

“Bayi berkenaan dibaluti dengan selimut berwarna kelabu yang dipenuhi drah dan mukanya bertutup dengan tuala.

“Myat bayi berkenaan kemudian dihantar ke Hospital Putrajaya dan diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut,” katanya.

Sumber : BH Online , Sinar Harian