Semasa

Buaya air masin ‘gergasi’ di Langkawi

By  | 

BUAYA air masin gergasi seberat satu tan menjadi tarikan terbaru di Taman Buaya Langkawi (TBL) dan kebetulan pula, ia muncul menjelang sambutan Tahun Baharu Cina ini.

Reptilia sepanjang 4.7 meter itu dipercayai tangkapan buaya terbesar di negara ini yang dipindahkan ke kandang pameran untuk tontonan awam di taman itu mulai hari ini.

Pengurus Operasi TBL, Hasnul Yakin Mohammed berkata, sebelum ini buaya jantan dibawa dari Sandakan, Sabah itu dipelihara dalam kolam pembiakan dan baka di kawasan berhampiran.

“Buaya ini berusia 30 tahun dan pada peringkat permulaan ini, kami hanya pamerkan untuk tontonan, sebelum merancang mengadakan aktiviti interaktif antara buaya dan pengunjung dalam tempoh terdekat.

“kami juga memulakan proses membolehkan ia melakar nama dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai buaya tangkapan terbesar di negara ini,” katanya pada sidang media di TBL, di sini, hari ini.

Hasnul Yakin berkata, ada 4,000 buaya dipelihara di taman itu membabitkan empat spesies, iaitu buaya Siamensis dari Thailand, Novaeguineae (Indonesia) serta Tembaga dan Jejulung (Malaysia).

“Taman ini dibuka kira-kira 25 tahun lalu dan menerima hampir 15,000 pengunjung setiap tahun.

“Kira-kira 85 peratus pengunjung adalah pelancong asing dan bakinya pengunjung tempatan,” katanya.

Sumber : Harian Metro