Semasa

Budak patah tangan selepas ditolak pembuli ketika bermain istana belon

By  | 

Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun patah tangan kiri ketika bermain Istana Belon di sebuah pusat beli-belah, Johor. 


Difahamkan kejadian itu berlaku semalam (4 September 2019) dan ibu mangsa berkata, mereka sekeluarga termasuk anak kembar pergi ke pusat beli-belah itu kira-kira jam 6 petang untuk bermain istana belon. 


10 minit kemudian, anak perempuannya datang sambil menangis mengadu dibuli dan ditolak oleh seorang kanak-kanak lelaki. Namun si ibu menganggap tiada sebarang kejadian yang serius dan menasihatkan anaknya berhati-hati serta menjaga dua adik kembarnya. 


Tidak beberapa lama kemudian, anak perempuannya kembali sambil membawa adiknya yang menangis teruk kerana ditolak oleh kanak-kanak yang sama. Dalam masa yang sama, wajah mangsa kelihatan pucat. 

Tidak puas hati dengan kejadian itu, si ibu terus pergi mencari kanak-kanak terbabit dan bertanya kenapa dia berbuat demikian. Namun pertanyaannya tidak diendahkan dan terus menyambung bermain. 


Si ibu kemudian pergi mencari ibu bapa kanak-kanak terbabit untuk meminta penjelasan. Malangnya mereka berkata perkara itu adalah normal bagi kanak-kanak bermain jika berlaku sedikit kekasaran. Malah mereka enggan bertanggungjawab di atas apa yang telah berlaku. 


Selain itu, ibu mangsa turut dipersalahkan kerana dituduh cuba memperbesarkan hal itu. Mereka juga meminta dia menunjukkan video bukti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) jika benar anaknya dibuli sehingga cedera. 


Mangsa dikejarkan ke hospital dan doktor mengesahkan tangan kiri mangsa patah dan terpaksa menjalani pembedahan selama dua jam serta perlu berehat selama enam bulan bagi memastikan tiada sebarang kesan sampingan. 


Ibu mangsa kini menuntut ibu bapa kanak-kanak terbabit bertanggungjawab dan klip video CCTV yang diperolehi juga telah membuktikan anaknya dibuli. 


Ada netizen yang menyokong tindakan si ibu, tetapi ada juga yang menyalahkan dia kerana tidak mengawasi anak-anaknya sendiri ketika bermain Istana Belon itu.


Sumber: Oriental Daily, World of Buzz

THEREPORTER