Luar Negara

Ceritalah India – Konflik kasta dan agama: Kesakitan Muzaffarnagar

By  | 

ENAM tahun lalu, keluarga Irshad Ali terpaksa melarikan diri dari kediaman mereka di Muzaffarnagar, di Uttar Pradesh (UP) utara. Mereka adalah antara 50,000 orang Islam yang kehilangan tempat tinggal selepas rusuhan yang mengorbankan 62 orang dan mencederakan banyak lagi. Muzaffarnagar mempunyai penduduk lebih 500,000 orang, yang mana lebih 40 peratus adalah orang Islam.

Irshad mengenang kembali kehidupannya sebagai kanak-kanak yang membesar dengan tenang di Phugana, sebuah kampung kecil kira-kira 100 kilometer dari New Delhi. Pada hari-hari menjelang rusuhan itu, Irshad ingat bahawa terdapat bisikan-bisikan yang tersembunyi dan pandangan jahat. Tanda-tanda lain adalah kurang ketara.

“Mereka kata mereka mahu membasuh tangan mereka dengan darah kami, mereka mahu menghapuskan kami, ‘Muslim kotor’. Mereka kata kami akan kesemuanya mati dala masa beberapa hari lagi.”

Rusuhan itu tercetus kemudiannya, pada 27 Ogos 2013. Puncanya masih dipertikaikan: ia berkemungkinan suatu kemalangan jalan raya.

Apa jua puncanya, orang Hindu di Muzaffarnagar membunuh orang Islam secara sistematik. Keluarga-keluarga disembelih oleh jiran-jiran rumah sebelah mereka. Kebanyakan orang Islam dengan serta-merta melarikan diri, tetapi ibu Irshad enggan meninggalkan rumah keluarga mereka.

“Ibu saya enggan meninggalkan kampung itu. Keluarga kami telah tinggal di sana untuk waktu yang amat lama. Beliau meminta kami usah pergi, walaupun dalam keadaan apa jua sekalipun. Kemudian kami dengar bahawa dua jiran kami telah dibunuh. Mereka membakar masjid kami.”

Irshad Ali baru berusia 13 tahun ketika kekecohan Muzaffarnagar terjadi. Pada usia 18 tahun sekarang, dia berharap untuk menyambung pengajian di kolej dalam bidang Matematik. Foto Ceritalah

Irshad Ali baru berusia 13 tahun ketika kekecohan Muzaffarnagar terjadi. Pada usia 18 tahun sekarang, dia berharap untuk menyambung pengajian di kolej dalam bidang Matematik. Foto Ceritalah
Keluarga itu dapat melepaskan diri pada waktu malam, mencari perlindungan di sebuah kampung orang Islam bersebelahan.

Irshad, baru berusia tiga belas tahun terpaksa meronda kampung itu, siang dan malam, bimbang terhadap serangan kedua orang Hindu.

Orang Islam merupakan 14.2 peratus daripada 1.3 bilion penduduk India. Ia merupakan kediaman penduduk kedua terbesar orang Islam di dunia, selepas Indonesia.

Malangnya, pengalaman Irshad jauh daripada unik.

Kasta dan keimanan adalah pemecah terbesar India dan ironinya, ia juga adalah penyatunya.

Setiap parti politik menggariskan sokongan terasnya dari segolongan kecil kumpulan-kumpulan kasta dan, atau agama yang dipilih.

Parti Samajwadi, umpamanya, sejak tahun 1990 adalah berpengaruh dengan orang Yadav, Kasta Terkebelakang Lain (OBC) yang merupakan golongan orang tengah yang bertanah dan di negeri-negeri yang memiliki penduduk Islam yang besar. Mereka ini telah melonjakkan parti itu untuk mencapai kuasa sebanyak tiga kali di UP sejak 20 tahun lalu.

Sebaliknya BSP mewakili penduduk golongan Dalit (atau bekas kasta yang tidak boleh disentuh) — mewakili pemimpin parti Mayawati — masih mampu memenangi jawatan Ketua Menteri UP empat kali.

BJP utamanya bergantung pada kasta atas dan saudagar seperti Bania dan Brahmin.

Gabungan komunalisme kasta dan agama seringkali membuatkan kehidupan seharian — belum lagi menyebut politik — merupakan hal ehwal yang mudah meletup di India.

Rusuhan besar menjelang pilihan raya yang lain — selain daripada kekerasan di Muzaffarnagar pada tahun 2013 — termasuk rusuhan di Meerut pada tahun 1987, rusuhan Orissa pada tahun 1989 dan rusuhan Godhra (Gujarat) pada tahun 2002.

Kesan daripada insiden-insiden seumpama itu seringkali mengakibatkan kesan aneh dalam perkiraan politik pelbagai kasta dan anutan agama.

Rusuhan itu memaksa lebih 50,000 umat Islam meninggalkan rumah mereka. Foto diambil tiga tahun selepas konflik tersebut. Press Trust of India (PTI).

Rusuhan itu memaksa lebih 50,000 umat Islam meninggalkan rumah mereka. Foto diambil tiga tahun selepas konflik tersebut. Press Trust of India (PTI).

Di UP, Jat, satu golongan kasta pertanian di wilayah itu, secara tradisinya mengundi Rashtriya Lok Dal (RLD), sebuah parti tempatan.

Ekoran daripada pembunuhan ramai tahun 2013, mereka beralih ke BJP dalam Piihan Raya Umum tahun 2014. Agihan undi Jat mencecah 4.4 juta di UP dan kira-kira 28 juta di India.

Apakah yang akan diperoleh pakatan ini pada masa depan?

Malangnya, kekecohan yang lebih besar akan berlaku pada masa depan.

Anjakan semasa India kepada polarisasi agama dan nasionalisme Hindu dihujahkan bermula pada Disember 1992 dengan pemusnahan Masjid Babri di Ayodhya, yang terletak di UP.

Suatu janji utama pilihan raya yang dibuat BJP pada pilihan raya 2014 ialah mereka akan membina sebuah kuil Hindu yang hebat di kawasan yang dipertikaikan itu.

Pada lewat 2018, pertubuhan sayap kanan jauh Hindu bertumpu di Ayodhya untuk memaksa pembinaan sebuah Kuil Ram di tapak itu tanpa menghiraukan hakikat bahawa pertikaian itu masih dibicarakan di mahkamah.

Juga, serangan militan Pulwama baru-baru ini — apabila sebuah konvoi separa tentera Hindu diserang oleh pemisah Kashmir pada 14 Februari yang membawa kepada 40 kematian — telah mendorong suatu rangkaian serangan balas dendam ke atas orang Kashmir dan Islam di seluruh India.

Ia kelihatan seolah-olah India tidak akan bebas daripada bahana kekerasan komunal pada waktu terdekat ini.

Irshad secara merendahkan suara menyatakan bahawa beliau hendak belajar matematik enam tahun lalu.

“Rusuhan itu menghancurkan pelajaran saya. Saya cuba kembali ke sekolah lima bulan selepas rusuhan itu. Rakan-rakan sekelas saya pukul saya hampir mati. Saya tidak kembali selepas itu.”

Beliau mengambil masa dua tahun untuk pulih dan keluarganya bersama mengumpul wang cukup-culup untuk yuran sekolah.

Sekolah barunya juga tidak berbeza. Gurunya, seorang yang didakwa berpegang pada “Islamofobia” telah menggagalkan setiap pelajar Islam dalam kelasnya dan memberikan gred tinggi pada pelajar-pelajar Hindunya walaupun yang paling teruk.

Irshad dengan kesal memberitahu saya, “Saya hampir putus asa. Saya tidak pergi ke sekolah lagi. Saya duduk di rumah dan belajar untuk peperiksaan saya. Rakan sekelas saya beragama Hindu menghina saya setiap hari. Jika mereka menggagalkan saya lagi kali ini, hanya kerana siapa saya, maka saya tidak ada pilihan kecuali bekerja di tanur bata. Saya kenal pelajar-pelajar Islam yang lebih cerdik daripada saya tetapi tidak ada pilihan lain kecuali bekerja di sana.”



** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.