Semasa

‘Dari istana untuk rakyat’

By  | 

PAHANG antara negeri yang sering dilanda banjir pada musim tengkujuh namun dalam keadaan itu, rakyat yang berpindah di pusat pemindahan banjir sentiasa mendapat keistimewaan – masakan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar.

Tunku Azizah yang hari ini bergelar Raja Permaisuri Agong adalah anak raja yang cukup dikenali dengan hobi suka memasak malah sanggup menyinsing lengan baju semata-mata untuk ‘beraksi di dapur’ bagi memasak lauk-pauk bagi memastikan mangsa banjir mendapat makanan lazat dan mencukupi sepanjang berada di situ.

Nor Mastuza Abdul Aziz, 52, yang berpeluang membantu Tunku Azizah memasak ketika daerah Pekan dilanda banjir pada 2014 dan 2015, menyifatkan baginda tukang masak yang cekap dan mendapat pujian ramai.

“Ayam masak merah dan sardin antara menu yang sering jadi pilihan tuanku. Jika Tunku Azizah memasak, baginda tidak suka ikan dipotong saiz kecil sebaliknya baginda lebih suka memasaknya dalam saiz asal.

“Baginda pernah bertitah, jika hendak menjamu orang, biarlah dia dapat makan sepuas hati dan kenyang,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Nor Mastuza yang berpengalaman membantu baginda memasak di pusat pemindahan Sekolah Sains Sultan Haji Ahmad Shah (SHAH), Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Mahmud Mat dan Sekolah Kebangsaan Sinar Mutiara, Pekan pada waktu itu turut menyifatkan Tunku Azizah wanita yang sangat berkebolehan dalam bidang masakan.

“Baginda memang pantas memasak…jadi kami hanya tolong hulur bahan saja.

“Bahan masakan juga sudah siap dibersihkan, dipotong, diperap dan dibawa khas dengan menaiki helikopter atau trak tentera (bergantung pada laluan yang selamat).

“Baginda juga suka buat sendiri, jadi kami hanya membantu dan berbual-bual dengan baginda.

“Tuanku biasanya mengambil masa singkat untuk memasak, seperti 20 minit untuk siapkan ayam masak merah.,.yang lama sikit bila membabitkan kerja menggoreng,” katanya.

Bagi Pengerusi Pertubuhan Perkumpulan Wanita (WI) cawangan Sepekan Jaya, Ruziah Awang, 60, pengalaman membantu Tunku Azizah memasak kenangan manis yang sentiasa dikenang.

“Baginda peka dengan keperluan rakyat terutamanya ketika memerlukan.

“Baginda turun padang dan berusaha menyediakan menu yang enak bagi menggembirakan mereka yang ditimpa musibah. “Kehilangan dan kesedihan mangsa akibat tragedi banjir sedikit terubat dengan kehadiran baginda yang turut beramah mesra dengan mereka di pusat pemindahan,” katanya.

Sumber : Harian Metro