Semasa

Di mana pengasuh anak aku?

By  | 

SEORANG guru wanita di Rembau berdepan detik cemas apabila mengetahui anak perempuannya yang di bawah pengawasan pengasuh ditemui berkeliaran di tepi jalan, semalam.

Pada kejadian 12 tengah hari itu, kanak-kanak berusia berusia lima tahun itu ditemui orang ramai di Taman Pinggiran Pedas, sebelum dibawa ke Balai Polis Pedas.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Anuar Bakri Abdul Salam berkata, siasatan mendapati ibu kanak-kanak terbabit adalah seorang guru di sebuah sekolah rendah di Tampin.

Pada pagi kejadian, dia menghantar anaknya kepada seorang pengasuh wanita di Taman Chembong Jaya.

“Siasatan mendapati anak pengasuh terbabit membawa pulang kanak-kanak itu ke rumahnya di Taman Pinggiran Pedas, yang terletak kira-kira lapan kilometer (km) dari situ.

“Tanpa pengawasan, kanak-kanak itu berkeliaran dan ditemui tanpa hala tuju di tepi jalan,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Anuar Bakri, berikutan kanak-kanak terbabit dilihat ketakutan, dia dibawa orang awam ke balai polis.

Sebaik dihubungi polis, ibu kanak-kanak berkenaan mengambil anaknya di balai berkenaan, jam 5.05 petang.

“Bagaimanapun, tiada laporan polis dibuat dalam kejadian itu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan ibu bapa atau pengasuh supaya mengawasi anak bagi mengelak kejadian tidak diingini.

“Jangan disebabkan sikap cuai, malang menimpa di kemudian hari,” katanya.

Sumber: Harian Metro