Semasa

Dikecam sindir kereta ‘cukup syarat’, wakil rakyat Lembah Pantai mohon maaf

By  | 
Paparan skrin Twitter Fahmi Fadzil yang menyindir sebuah kereta daif. Seorang pengguna kemudian mendakwa kereta itu milik rakannya yang dalam kesusahan. — Foto ihsan Facebook/Sujita Soorian

KUALA LUMPUR, 9 Sept — Ahli Parlimen Lembah Pantai meminta maaf selepas dikritik hebat warga maya yang kurang senang dengan hantarannya menyindir sebuah kereta buruk.

Memuat naik permohonan maaf di Twitter malam tadi, Fahmi Fadzil menyatakan kekesalan kerana tindakannya itu.

“Setelah meneliti maklum balas dan komen-komen warganet, dan setelah muhasabah dan berfikir panjang, saya akui Tweet tersebut tidak patut saya tulis dan ingin memohon maaf. Seharusnya saya lebih sensitif,” catat pengarah komunikasi PKR.

Fahmi sebelum itu memuat naik foto sebuah kereta yang kelihatan remuk dan daif dari arah belakang, mengatakan kenderaan itu sebagai “cukup syarat” dan menulis tanda ketawa “lol”.

Hantaran itu kemudian mendapat respons seorang pengguna yang mendakwa kereta terbabit milik rakannya yang berdepan kesempitan hidup.

“Ini kereta kawan saya. Dia bekerja sebagai pemandu Grab Food dan menjaga ibu bapanya,” catat pemilik akaun Riza Tan.

“Kami tahu gaji YB (Yang Berhormat) sangat tinggi tetapi jangan tertawa melihat kemiskinan orang lain, YB.”

Semakan ProjekMM mendapati hantaran yang dimaksudkan sudah dipadam Fahmi.

Walau sudah memohon maaf, pengguna di Twitter menyeru agar Fahmi berjumpa dengan pemilik kenderaan itu dan mendengar sendiri punca masalah sebenar.

“Minta maaf mungkin tak cukup nak perbaiki hati yang dah terguris. Apa kata YB pergi jumpa tuan punya kereta yang YB bahan, sedekahkan wang untuk beliau baiki kereta tu. Atau lebih baik YB sendiri pergi hantar keretanya ke bengkel dan pastikan semuanya diperbaiki,” catat Amir Rahim.

Pengguna bernama Syezzy berkata sebagai seorang wakil rakyat yang melaksanakan tugas, Fahmi sepatutnya tahu ada kenderaan seperti itu di kawasannya.

“Mungkin tak teruk (seperti kereta itu) tapi (kawasan) Lembah Pantai tidaklah dipenuhi orang atas (berjawatan tinggi) atau kenderaan mewah pun. Tapi untuk beliau buat lawak pasal itu tak boleh diterima,” catatnya.

“Pergi cari pemilik kereta tersebut, jelaskan tindakan YB dan minta maaf kepada pemilik kereta,” catat Julia Kama Jasni Eman.

Hantaran permohonan maaf Fahmi setakat ini dikongsi sebanyak 614 kali dan mendapat 1,500 tanda suka. – PROJEKMM