Semasa

Ditahan minum arak tepi pantai

By  | 

TUJUH individu, termasuk remaja perempuan berpakaian menjolok mata ditangkap ketika sedang bersantai sambil menikmati minuman keras di tepi pantai Pasir Panjang, Pulau Perhentian, Besut, Jumaat lalu.

Remaja berusia 19 tahun dan enam lelaki berusia 20 tahun hingga 30-an dicekup penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) hasil operasi dilaksanakan, 12 tengah malam.

Ketua Penolong Pesuruhjaya (Penguatkuasaan) JHEAT, Nik Zuhaiza Ismail, berkata, serbuan dilakukan susulan pemantauan mendapati ada seorang remaja perempuan yang berpakaian menjolok mata bersama tujuh lelaki sedang bersantai di tepi pantai.

Katanya, sewaktu pemantauan dilakukan tujuh individu terbabit juga didapati sedang rancak bersembang sambil menikmati minuman keras yang terhidang di atas meja.

“Bagaimanapun sejurus menyedari kehadiran kami, masing-masing menyembunyikan botol minuman itu di bawah meja kononnya untuk mengaburi mata penguat kuasa.

“Tetapi ‘lakonan’ itu tidak berhasil sebelum kesemuanya ditahan untuk siasatan lanjut.

“Kita merampas dua botol arak pelbagai jenama dan satu tin arak yang separuh daripadanya sudah diminum,” katanya.

Menurut Nik Zuhaiza, siasatan awal mendapati kesemua mereka rakan sekerja dari Johor Bharu yang datang bercuti ke pulau ini.

Katanya, hasil soal siasat dilakukan suspek mengaku membeli minuman keras itu menggunakan wang yang dikumpul bersama-sama.

“Kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 23(1) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Terengganu 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

“Operasi ini akan dilakukan secara berterusan dan kita sudah mengenal pasti beberapa lokasi di negeri ini yang sering menjadi ‘port’ individu beragama Islam meminum minuman keras ini.

“Kita amat memandang serius berhubung kegiatan umat Islam yang sanggup meminum minuman keras yang secara jelas disebut dalam Al-Quran sebagai minuman yang haram dan boleh membawa banyak kemudaratan,” katanya. – HARIAN METRO