Sukan

Doakan Yang Terbaik Buat Saya

By  | 

Bekas pemain pertahanan Kuala Lumpur, Muhammad Syazwan Andik Mohd. Ishak enggan penghijrahannya menjadi isu utama dalam kancah bola sepak negara, sebaliknya mengharapkan sokongan semua pihak susulan keputusannya menyertai kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) semalam.

Terdahulu, Facebook rasmi, Johor Southern Tigers mengesahkan Syazwan menyarung jersi skuad Harimau Selatan bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2019.

Pemain berusia 23 tahun yang beraksi bersama skuad Harimau Malaya itu memiliki kontrak bersama Kuala Lumpur sehingga­ 2019 dengan klausa pelepasan perpindahan berjumlah RM1.6 juta.

Bagaimanapun, bekas pemain JDT II itu mengambil keputusan menamatkan kontrak lebih awal selepas berdepan masalah tunggakan gaji bagi November dan Disember tahun lalu.

Syazwan memberitahu, keputusannya berhijrah ke JDT adalah bagi membela nasibnya sebagai pemain profesional serta demi perkembangan kariernya.

“Kini saya sudah bersama JDT dan sekarang dalam perjalanan untuk berdepan aksi pramusim di Thailand. Saya akan bekerja keras untuk merebut peluang berada dalam kesebelasan utama pasukan bagi perkembangan karier saya.

“Saya harap tindakan ini tidak dilihat dari sudut negatif serta disalahtafsirkan sebaliknya saya berharap semua pihak mendoakan yang terbaik buat diri saya.

“Saya melakukan keputusan ini selepas memikirkan semua aspek serta hubungan bersama pasukan lama yang masih baik termasuk pihak pengurusan kerana saya keluar dari Kuala Lumpur dengan cara betul,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Mengikut Perkara 8, Penamatan Kontrak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), klausa 8.7 menjelaskan, kontrak seseorang pemain boleh ditamatkan tanpa apa-apa kesan (sama ada pembayaran pampasan atau pengenaan sekatan kesukanan) jika pemain tidak menerima gaji lebih daripada satu bulan.

Dalam klausa sama menjelaskan, setelah tidak dibayar gaji lebih daripada satu bulan, pemain akan menulis surat kepada setiausaha kelab atau pengurus menyatakan hasratnya untuk menamatkan kontrak dan sete­rusnya pemain berhak berun­ding dengan mana-mana kelab baharu tanpa perlu mendapatkan kebenaran kelab semasa.

Dalam kes Syazwan, kelab akan melepaskan Sijil Perpindahan Pemain (SPN) tanpa syarat sebaik sahaja kontrak itu ditamatkan dan tiada pampasan atau bayaran pemindahan lanjut boleh dikenakan kepada kelab baharu lapor Kosmo.