Politik

Doktor Pelatih Kerja 80 jam Seminggu Masalah Serius

By  | 

KEMENTERIAN Kesihatan sedang mengumpul maklumat lengkap berhubung laporan ada doktor pelatih di hospital kerajaan didakwa terpaksa bekerja 80 jam seminggu berikutan pelaksanaan jadual baharu yang dibahagikan kepada dua syif.

Menterinya, Datuk Seri Dr Zulkefly Ahmad berkata, beliau memandang serius kes berkenaan dan sudah mengarahkan tindakan sewajarnya diambil.

Katanya, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr Azman Abu Bakar juga sudah diarah mendapatkan maklumat lanjut berhubung perkara itu bagi mencari penyelesaian terbaik.

“Saya sedang meneliti perkara itu dan mengumpul maklumat mengenainya,” katanya selepas Majlis Pelancaran Revolusi Penyaringan Penghapusan Kanser Serviks (ROSE) di Kuala Lumpur hari ini.

Majlis itu disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dr Zulkefly mengulas laporan sebuah akhbar dalam talian mengenai pendedahan doktor pelatih yang terpaksa bekerja 80 jam seminggu berikutan pelaksanaan jadual baharu pegawai perubatan yang dibahagikan kepada dua syif di hospital kerajaan.

Sementara itu, Dr Zulkefly berkata, kementerian akan mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai maklum balas pelaksanaan larangan merokok di semua premis makanan yang dikuatkuasakan 1 Januari lalu dalam masa terdekat.

Menurutnya, dalam masa sama kementerian juga terbuka untuk menimbang pelbagai cadangan berhubung larangan merokok termasuk di tempat kerja.

“Kita terbuka untuk perbincangan mengenai larangan ini dan kami bersedia menelitinya,” katanya.

Semalam Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) Tan Sri Lee Lam Thye mencadangkan larangan merokok diperluas di tempat kerja atas pertimbangan tindakan sesetengah pekerja merokok di dalam tandas dan boleh memudaratkan kesihatan orang lain.

Sumber : hmetro