Semasa

Empat cedera rumah dihempap pokok kelapa

By  | 

TAPAH: Empat cedera selepas kediaman mereka dihempap pokok kelapa yang tumbang di Kampung Jawa, Batu Masjid, Temoh di sini malam ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Perak, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 7.51 malam dan sebaik tiba di lokasi mendapati sebatang pokok kelapa menghempap sebuah rumah.

POKOK kelapa yang tumbang menghempap sebuah rumah di Kampung Jawa, Batu Masjid, Temoh. – Foto IHSAN BOMBA

Katanya, ketika kejadian terdapat lima sekeluarga dalam rumah berkenaan membabitkan seorang lelaki dewasa, seorang wanita dewasa dan tiga lagi mangsa iaitu remaja perempuan berusia 13 tahun serta kanak-kanak perempuan berusia 10 dan 2 tahun.

“Lelaki dewasa berkenaan tidak mengalami kecederaan, manakala wanita dewasa pula cedera di bahagian kaki dan ketiga-tiga mangsa lain turut mengalami kecederaan.

“Keempat-empat mangsa yang mengalami kecederaan dibawa ke hospital oleh orang awam,” katanya ketika dihubungi di sini, sebentar tadi.

Menurutnya, bomba kemudian melakukan operasi memotong pokok tumbang terbabit dengan menggunakan dua mesin gergaji berantai sehingga operasi selesai sepenuhnya.

“Operasi yang tamat jam 9.07 malam tadi itu diketuai Mohd Saiful Hanif,” katanya.

Sumber: Berita Harian