Politik

“Esok UMNO-Pas Akan Berkahwin Di PWTC, Tidak Tahu Siapa Lelaki Siapa Perempuan” Ejek Rafizi

By  | 

BILA PAS BERKAHWIN DENGAN UMNO

PAS mengaku yang ia meletakkan Islam dalam perjuangan, kononnya pemimpin mereka menyertai politik untuk berdakwah.

Bukan untuk beli kereta besar, bukan untuk hadiahkan Audi kepada bini nombor dua tiga empat, bukan untuk hidup senang lenang dengan hanya berceramah.

Ramai juga yang menyokong PAS ini atas dasar perjuangan PAS adalah satu dakwah, bukan demi kuasa.

Hubungan marah dan cinta antara PAS dengan UMNO ini sudah lama.

Semasa mereka bercerai selepas berkahwin kali pertama (tahun 1970an), marahnya PAS kepada UMNO ini sehinggakan UMNO sudah lagi tidak Islam.

Kalau ada kenduri kahwin adik beradik, kalau yang tuan punya majlis itu UMNO, maka tidak boleh hadir. Sembahyang juga mesti asing-asing kerana tidak boleh berimamkan orang UMNO kerana mereka sudah lagi tidak Islam.

Ada juga yang bila akad nikah, selepas dengan tuan imam dari masjid, mesti akad nikah sekali lagi dengan imam dari PAS kerana takut perkahwinan tidak sah dan jatuh hukum berzina.

Itu jasa Hadi Awang kepada perpaduan ummah selepas menjatuhkan hukum melalui Amanat Haji Hadi. Saya orang Terengganu, dalam tahun 1980an keluarga terbelah antara yang UMNO dan PAS gara-gara Amanat itu.

Itu cerita dulu.

Sekarang UMNO dan PAS dah selesai meminang, esok akan berkahwin di PWTC. 

Kita tidak tahu yang mana lelaki yang mana perempuan. 

PAS beritahu ahlinya yang dalam perkahwinan itu, PAS adalah lelaki yang memimpin. Kalau PAS ucap saja, jatuh talak tiga jadi UMNO tidak boleh main-main.

UMNO beritahu ahlinya PAS adalah jandanya yang sekarang gila talak dengan UMNO setelah berpuluh tahun memaki hamun UMNO. UMNO bukan cinta sangat kepada PAS, cukup untuk dipakai sahaja.

In Sha Allah tok kadi kena semak jantina UMNO dan PAS dulu sebelum menikahkah mereka esok.

Hadi Awang tetap berjasa menyatukan ummah dalam setiap perkahwinan (dan perceraian UMNO-PAS).

Dulu, dia mendidik anak-anak muda PAS awal 1980an untuk menjatuhkan hukum keluar Islam ke atas orang UMNO, selepas PAS bercerai dengan UMNO.

Hari ini, PAS pula mendidik anak-anak muda PAS untuk menjatuhkan hukum keluar Islam ke atas orang Islam yang tidak bersama mereka dalam perkahwinan itu.

Lihat anak muda bernama Shah Al Badar ini. Sangat tegar menyokong PAS, satu pertubuhan dakwah kononnya.

Cuma dakwah sudah terpesong. Bukan lagi dakwah mendekatkan manusia ke jalan Allah, bukan lagi dakwah yang berhikmah dan bijaksana, apatah lagi dakwah yang berteraskan akhlak.

Dakwah anak muda PAS sekarang ialah berdakwah supaya orang Islam meninggalkan agama, apabila orang Islam itu tidak bersetuju dengan tindakan politik mereka.

Semuanya demi sekerat dua kerat pimpinan atas PAS dan nafsu mereka untuk menjadi pembesar negara.

Seperti juga perkahwinan UMNO-PAS yang lepas, perkahwinan kali ini juga akan terburai. Hanya tunggu masa kerana mereka tidak tahu siapa yang suami dan siapa yang isteri dalam perkahwinan itu.

Apabila strategi politik itu tidak menjadi dan mereka berbalah, mereka akan kembali kafir mengkafir seperti dulu.

Mereka juga yang menjerit penyatuan ummah, sedangkan merekalah yang kafir mengkafir sebelum ini dan memecah belahkan ummah.

MSENTRAL