Jenayah

Geng Saga kena lagi…

By  | 

MAHKAMAH Sesyen Kota Bharu, hari ini memutuskan hukuman penjara 12 tahun buat tiga ahli Geng Saga Merah termasuk dua beradik terhadap tuduhan merompak seorang wanita, tahun lalu.

Hakim Bazli Bahruddin menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Norashraf Mujahid Mamat Yasmi, 34, dan adiknya, Norshah Fifi, 30, serta Mohd Hakimi Mat Nor, 30, mengaku bersalah terhadap pertuduhan.

Beliau memerintahkan hukuman bermula daripada tarikh tertuduh ditangkap pada 17 Jun 2018.

Sebelum ini, pada 11 Februari lalu, ketiga-tiga mereka dihukum penjara sembilan tahun dan tiga sebatan oleh mahkamah sama atas tuduhan merompak seorang lelaki.

Dalam prosiding hari ini, tertuduh didakwa bersama-sama merompak beg duit yang mengandungi kad pengenalan Ain Syatira Ab Ghani, 27, lesen memandu, kad bank atas nama Azizah Abdullah dan seutas gelang emas serta kunci kereta Perodua Myvi di Jalan Sultan Omar, Kampung Chepa Binjai, Kota Bharu pada 7 pagi, 17 Jun 2018.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, ketika mangsa, Ain Syatira memandu kereta Perodua Myvi melalui jalan Kampung Chepa Binjai, kenderaannya dilanggar kereta Perodua Alza.

Mangsa berhenti di tepi jalan dan pada masa yang sama turun dua lelaki iaitu tertuduh.

Dua lelaki pergi ke arah kanan dan salah seorang membuka pintu kereta di bahagian pemandu serta menekup mulut mangsa dengan menggunakan kain dan seorang lelaki ke bahagian penumpang hadapan kemudian mengheret ayah mangsa keluar.

Lelaki itu mengambil beg duit mangsa yang mengandungi dokumen penting dan gelang emas. Mangsa membuat laporan polis dan susulan itu, tiga lelaki itu ditangkap pada hari sama kejadian.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noorazlinawati Mohd Arshad manakala, dua beradik itu diwakili peguam AS Dhaliwal dan tertuduh ketiga tidak diwakili peguam.

NSTP sebelum ini melaporkan, Geng Saga Merah yang aktif menyamun ketika orang lain sedang menyambut hari raya berjaya ditumpaskan, malah siasatan mendapati kumpulan itu melakukan enam kes samun, ragut dan curi bersenjata. – HARIAN METRO