Jenayah

Geng samun di rumah ubah suai ditahan

By  | 

POLIS menahan dua lelaki yang dipercayai terbabit dalam kegiatan samun membabitkan rumah yang sedang diubah suai di Taman Mewah Jaya, Klang, minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian di rumah itu, 10.40 pagi.

“Ketika kejadian, mangsa dan seorang lagi rakannya sedang melakukan kerja mengubah suai rumah berkenaan sebelum didatangi tiga lelaki.

“Seorang daripada suspek kemudian menampar dan menendang rusuk kiri mangsa sebelum meletakkan parang di lehernya.

“Dua penjenayah itu kemudian melarikan diri bersama barangan berharga mangsa antaranya sejumlah wang tunai, telefon bimbit, beg berisi pakaian dan beberapa peralatan kerja ubah suai rumah,” katanya pada sidang media di pejabatnya, hari ini.

Menurutnya, bertindak atas maklumat, pihaknya berjaya menahan dua suspek berusia 34 dan 35 tahun di dua lokasi berbeza di sekitar daerah ini pada keesokan harinya (Khamis).

“Kita turut merampas beberapa barangan dan senjata yang digunakan mereka ketika menyamun seperti kapak, pedang samurai, dua motosikal dan telefon bimbit.

“Semakan mendapati mereka masing-masing memiliki rekod jenayah lampau terutama membabitkan dadah,” katanya memaklumkan pihaknya sedang berusaha mengesan seorang lagi suspek yang terbabit dalam kes itu.

Shamsul Amar berkata, kedua-dua suspek direman enam hari bermula Jumaat lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

“Dengan tertangkapnya dua lelaki itu, kita percaya berjaya menyelesaikan tiga kes samun rumah yang diubahsuai serta satu kes curi motosikal,” katanya.

Sumber : Hmtero