Semasa

Hajat raikan ulang tahun tak kesampaian

By  | 

HAJAT seorang pemuda untuk meraikan ulang tahun kelahiran pada hari ini tidak kesampaian apabila terbabit dalam kemalangan di Kampung Pasir Puteh, Tumpat, petang hari ini.

Dalam kejadian 4.10 petang itu, Muhammad Hazimie Mohd Nasir, 21, yang menunggang motosikal cuba memotong kereta di hadapan, namun gagal sebelum terlanggar kenderaan itu.

Mangsa terjatuh di laluan bertentangan sebelum dilanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Mangsa maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan mayat dibawa ke Hospital Tumpat untuk bedah siasat.

Jenazah dibawa pulang ke kampung halamannya dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Banggol Stol, Pasir Mas, malam ini.

Rakan mangsa, Mohd Hamdi Rosli, 21, berkata dia bersama 10 rakannya berkonvoi dari Pasir Mas dengan motosikal masing-masing pada 3 petang untuk meraikan hari jadi arwah di Pantai Seri Tujoh.

Katanya, pada mulanya mereka merancang untuk bertolak lebih awal, namun berlaku kelewatan menyebabkan Muhammad Hazimie seperti merajuk dan mengatakan ingin tidur kerana menyangkakan rancangan itu batal.

“Kami bertolak pada 3 petang dan dia kelihatan kembali ceria, namun pada masa sama kami perasan dia tidak banyak bercakap berbanding biasa.

“Kami semua berkongsi wang untuk meraikan hari jadinya hari ini dengan menyediakan sedikit makanan di pantai itu, namun semua itu tidak kesampaian,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Tumpat, malam ini.

Ibu mangsa, Rogayah Yusof, 49, berkata anak kelima daripada 11 beradik itu tidak menunjukkan sebarang perubahan, namun agak rajin membantunya hari ini.

“Sebaik dia pulang dari kerja di tempat memproses ayam, saya mengajaknya untuk melihat tanah baharu dibeli tidak jauh dari rumah.

“Selalunya dia akan mandi dan berehat seketika, namun hari ini dia segera membawa saya membonceng motosikalnya tanpa bantahan,” katanya yang reda dengan pemergian arwah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud, mengesahkan menerima laporan berhubung kemalangan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber : Harian Metro