Jenayah

Hakim direman bantu siasatan rasuah kes khalwat polis

By  | 

IPOH – Seorang Hakim Mahkamah Rendah Syariah Ipoh direman lima hari bagi membantu siasatan rasuah melibatkan kes khalwat seorang anggota polis.

Suspek berusia 37 tahun itu tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Sesyen/Majistret Ipoh kira-kira jam 11.30 pagi bersama pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).


Menurut peguam, Dayang Nor Emilia Azhar Shah, terdahulu anak guamnya ditahan jam 11.30 malam tadi di sebuah restoran di Taman Desa Chemor di sini kerana dipercayai menerima suapan RM4,000 daripada seorang inspektor berkaitan kes khalwat yang sedang berjalan di mahkamah.


Selain itu, seorang anggota polis berpangkat lans koperal berusia 30 tahun turut direman selama lima selepas ditahan awal pagi tadi di Balai Polis Bukit Merah di sini kerana bersubahat menerima suapan tersebut.

Kedua-dua mereka disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.


Perintah reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Ipoh, N Nageswari. – SINAR HARIAN