Semasa

Hantar makanan katanya…

By  | 

LELAKI berstatus suami orang dicekup berkhalwat dengan seorang janda di sebuah pangsapuri di Simpang Kuala, Alor Setar, hari ini.

ANGGOTA penguat kuasa JAIK menyoal pasangan yang dicekup berkhalwat di sebuah pangsapuri di Simpang Kuala. FOTO ihsan JAIK

Lelaki berusia 40 tahun itu memberi alasan mahu menghantar makanan kepada wanita berusia 38 tahun itu sebelum dicekup jam 11 pagi.

Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah JAIK, Syeikh Radzi Abdul Mutalib berkata, pihaknya menerima maklumat awam berhubung kegiatan maksiat di rumah berkenaan.

Beliau berkata, sepasukan anggotanya melakukan pemeriksaan dan mendapati lelaki itu berada dalam rumah janda berkenaan.

“Ketika itu lelaki itu ditemui hanya bertuala manakala pasangannya itu berseluar pendek dan memakai singlet.

“Hasil pemeriksaan mendapati, mereka tidak mempunyai sebarang hubungan mahram atau suami isteri menyebabkan mereka ditahan kerana disyaki berkhalwat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Radzi berkata, lelaki itu bekerja sebagai pemandu lori manakala wanita itu tidak bekerja.

Katanya, mereka kemudian dibawa ke pejabat Agama Daerah Kota Setar untuk diambil keterangan sebelum dibebaskan dengan jaminan keluarga.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 kerana disyaki berkurung sehingga mendatangkan syak.

“Jika sabit kesalahan boleh didenda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya. – HARIAN METRO