Hiburan

‘Haram’, muziknya lebih berevolusi – juri

By  | 

“Kemenangan Haram kerana ada pembaharuan dan muziknya yang lebih berevolusi,” dedah ketua juri Anugerah Juara Lagu 33 (AJL33), Azmeer.

Komposer itu berkata, pihak juri bersepakat mahukan sesuatu yang baru dan lagu ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong itu mempunyai ‘loop’ besar dan notasi muzik yang ada tingkah moden.

“Tambahan pula bunyi dan melodinya juga sedap didengar dan ia dipersetujui majoriti juri.

“Sebagai ketua juri, saya harus akur untuk bekerjasama dengan juri lain kerana mereka juga ada ilmu serta kelebihan masing-masing,” katanya.

Azmeer turut akui sangat menggalakkan pembaharuan dari sudut bunyi dalam penciptaan lagu pada masa depan.

Ditanya mengenai lagu yang tidak berjaya, Azmeer mendakwa ada antaranya disebabkan pemilihan lagu yang tidak sesuai dengan vokal penyanyi.

“Contohnya, lagu sudah bagus tapi vokal penyanyi pula ‘penyet’ yang menenggelamkan lagu itu.

“Ini bukan pertandingan nyanyian, tapi Anugerah Juara Lagu dan majoriti markah pada malam ini adalah prapenjurian.

“Kalau ada penyanyi yang buat silap pada vokal, juri akan potong markah vokal, bukan pada markah muzik atau melodi,” jelas Azmeer.

Seramai 10 orang juri profesional diketuai Azmeer dilantik untuk menilai 12 lagu yang dipertandingkan untuk AJL33.

Mereka ialah Datuk Wah Idris, Datuk Mokhazani Ismail, Helen Yap, LY Baiduri, Ajai, AG Coco, Manan Ngah, Adi Priyo dan Faizal Uzir (Lok U).

AJL33 menyaksikan lagu Haram nyanyian duet Hael Husaini dan Dayang Nurfaizah bergelar juara, manakala lagu Bunga nyanyian Ara Johari mendapat Naib Juara.

Sumber : Harian Metro