Politik

Hentikanlah stereotaip ‘Melayu malas’

By  | 

KUALA LUMPUR – Tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad menghina bangsa Melayu sebagai malas bekerja tatkala bangsa lain memerhati adalah satu tindakan yang tidak boleh ditoleransi.

Apatah, dakwaan yang berulang kali dibuat oleh Perdana Menteri itu langsung tidak berasas.

Ketua Pemuda MIC Bayan Baru, Mathis Sarawanan hairan kerana walaupun sudah lebih 62 tahun negara mencapai kemerdekaan, stereotaip ‘bangsa Melayu malas’ tidak dapat di hentikan oleh Dr Mahathir sehingga kini.

Kata Mathis, Malaysia bukan lagi berada dalam cengkaman penjajah untuk Dr Mahathir berterusan memberikan kenyataan stereotaip seperti ini.

Sebaliknya, kenyataan tersebut tidak lebih daripada mengguris perasaan rata-rata khasnya majoriti masyarakat Melayu di negara ini.

“Mengapa suka buat perbandingan seperti ini dan cuba menangkan pekerja asing? Tahukah Tun, dalam Tun mengeluarkan kenyataan seperti ini, ramai lagi dalam kalangan Melayu yang bekerja siang malam, bukan malas.

“Saya pelik sangat dengan Tun yang sebenarnya seorang negarawan yang cukup tersohor, berilmu, berpengalaman masih boleh berpegang dengan stereotaip sebegini sedangkan realiti pada hari ini cukup berbeza?

“Saya beri contoh kepada anda, menurut laporan ‘Labour Force by Ethnic Group and State’ yang telah diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia sekitar Julai 2018, secara jelas lagi terang benderang telah menyatakan buruh terbesar di isi oleh masyarakat Melayu- Bumiputera.

“Malah dalam laporan yang sama juga, penyertaan masyarakat Melayu-Bumiputera dalam tenaga buruh telah meningkat sebanyak 2 juta antara tempoh 2005-2014.

“Jadi apakah sebenarnya keperluan untuk Tun mengeluarkan kenyataan sebegini? Kita bukan perlu melihat pada data rasmi kerajaan semata-mata untuk buktikan kenyataan Tun kerana dalam kalangan antara kita sendiri sudah ada sekurang-kurangnya seorang Melayu rajin yang kita kenali,” katanya.

Baru-baru ini, Tun Mahathir menyifatkan orang Melayu masih lagi malas bekerja dan rela menyerahkan segala kerja kepada bangsa asing.

Melalui satu catatan terbaru di laman blog chedet.cc, Dr Mahathir berkata, keengganan orang Melayu bekerja mendorong jutaan rakyat asing membanjiri Malaysia untuk mendapatkan kerja.

Jelas Mathis lagi, hakikatnya kerajaan sepatutnya perlu membuat dasar supaya ekonomi berkembang dan mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi dan yang menggunakan teknologi dan akal fikiran untuk rakyat dan graduan-graduan.

“Ini tidak, pelik betul apabila anda menyuruh rakyat undur ke belakang dan menjadi buruh kasar dan memanggil mereka pemalas apabila peluang pekerjaan tiada akibat kegagalan kerajaan menguruskan ekonomi.

“Cukup-cukuplah buat dakwaan sebegini, sebaliknya cuba tengok apakah kekurangan kerajaan yang kini sudah diberikan kuasa yang begitu dihajati sebelum PRU lepas, ketika itu segala macam janji sudah dilakukan, ketika mahu undi tidak pula bangsa ini di katakan pemalas,” tegasnya. –MalaysiaGazette