Hiburan

Hubungan Zac, Selena?

By  | 

HANYA kerana mengikuti akaun Instagram (IG) penyanyi Selena Gomez baru-baru ini, nama pelakon kacak, Zac Efron tiba-tiba menjadi bualan hangat dalam kalangan peminat dan netizen.

Ini kerana ada yang mengaitkan mereka mempunyai hubungan cinta berikutan Zac tiba-tiba mengikuti Selena di IG biarpun sebelum itu mereka sudah saling mengenali.

Perkara itu turut membuatkan netizen berharap kedua-dua selebriti itu benar-benar bercinta selepas sama-sama pernah terbabit menjayakan filem komedi Neighbors 2: Sorority Rising, tiga tahun lalu.

Menariknya lagi, Zac mula mengikuti Selena pada saat wanita itu baru saja pulih daripada sakit dan memutuskan untuk kembali aktif di media sosial.

Dalam pada itu, Selena sendiri tidak mengikuti Zac di IG.

Segelintir netizen beranggapan hubungan Selena akan lebih baik dengan Zac berbanding bekas kekasihnya, Justin Bieber.

“Mereka sangat sepadan dan pasti boleh hidup bersama. Zac seorang lelaki yang baik, tidak seperti Justin,” kata seorang peminat.

Seorang lagi peminat berkata, selepas Justin, Selena berhak mendapatkan Zac.

“Saya tahu Zac hanya mengikuti laman IG Selena saja, tetapi kalau hubungan mereka menjadi, pastinya pasangan itu akan melahirkan anak yang comel,” tulis seorang peminat Selena.

Tidak sekadar itu, malah ada juga peminat sudah memberikan nama gabungan buat pasangan itu yang disebut Zaclena.

Dalam pada itu, kedua-dua wakil pengurusan artis itu belum membuat sebarang kenyataan berhubung perkara berkenaan.

Rata-rata netizen mengharapkan berita baik dikhabarkan daripada kedua-dua selebriti terkenal itu.

“Saya rasa mereka adalah pasangan sepadan dan boleh menjalin hubungan serasi antara satu sama lain,” komen seorang netizen.

Sumber : Harian Metro