Luar Negara

IBUKU ‘PONTIANAK’

By  | 

Copenhagen: Seorang wanita dijatuhi hukuman penjara empat tahun selepas didapati bersalah menyebabkan anak lelakinya sakit dengan mengeluarkan lebih satu pain darah mangsa pada setiap minggu selama lima tahun semata-mata untuk mendapatkan simpati.

Ibu berusia 36 tahun itu menggunakan peralatan kateter untuk mengeluarkan darah kanak-kanak berkenaan dari usia satu hingga enam tahun dan memberitahu doktor kekurangan darah mangsa adalah akibat penyakit tulang sumsum yang jarang berlaku.

Bagaimanapun, doktor tidak percaya dengan dakwaan wanita itu yang juga seorang jururawat terlatih sebelum membuat laporan polis.

Penyiasat kemudian memasang satu kamera tersembunyi di rumah flat wanita berkenaan yang terletak di Skjern, wilayah Jutland, barat Denmark dan berjaya merakam aksinya mengeluarkan darah mangsa.

Stesen televisyen TV2 Nyheter melaporkan, ketika perbicaraan wanita itu ditanya mengenai sikapnya yang suka menceritakan penyakit anaknya di Facebook dan kepada media tempatan.

“Saya hanya mahu berkongsi kisah anak saya.

“Saya rasa ia membantu kami. Kadangkala saya berasa kesunyian, sebagai ibu yang mempunyai anak yang sakit,” katanya kepada mahkamah.

Apabila pendakwa raya memberitahu, dia adalah punca kepada penyakit anaknya, wanita itu berkata, pada waktu itu dia tidak melihat itu adalah sebabnya.

Namun, laporan psikiatrik yang diarahkan mahkamah ke atas wanita itu mendapati dia menghidap sejenis penyakit dikenali sebagai Sindrom Munchausen Melalui Proksi.

Sindrom Munchausen Melalui Proksi adalah satu keadaan di mana seorang dewasa sengaja atau mereka-reka penyakit anak mereka semata-mata untuk mendapat perhatian atau simpati.

Penyakit itu juga biasanya dianggap satu bentuk penderaan teruk terhadap kanak-kanak.

Budak lelaki itu yang kini berusia tujuh tahun kini tinggal dengan bapanya dan dua adiknya yang lain.

Kanak-kanak itu secara fizikalnya berbadan kecil berbanding rakan seusianya tetapi dia sudah sembuh sepenuhnya.

Sumber : Harian Metro