Luar Negara

Jepun bergelut tangani wabak campak terburuk

By  | 

TOKYO: Pihak berkuasa kesihatan di Jepun memerangi wabak campak terburuk negara itu sejak beberapa tahun lalu dengan kebanyakan jangkitan bertumpu di kalangan peserta pameran Hari Valentine dan kumpulan agama menentang vaksin.

Sejumlah 167 kes dilaporkan di 20 daripada 47 daerah Jepun sehingga 10 Februari lalu, kata Institut Penyakit Berjangkit Kebangsaan dengan wabak terbesar berlaku dalam daerah Mie dan Osaka.

Ia jangkitan paling pantas dicatat Jepun dengan kebanyakan kes bermula sejak 2008.

Peningkatan penyakit mudah berjangkit itu berlaku ketika Amerika Syarikat (AS) bergelut dengan wabak campak di Texas, New York dan Washington dengan lebih 120 kes dilaporkan setakat tahun ini.

Wabak itu mencetuskan gesaan pemvaksinan kanak-kanak di sesetengah tempat di mana ibu bapa mempunyai pilihan meluas.

Di Jepun, hampir semua 49 kes dilaporkan dalam daerah Mie adalah individu dikaitkan dengan Miroku Community Kyusei Shinkyo, kumpulan agama yang mempronomi pemulihan alternatif.

Kumpulan itu berkata, ia menekankan pengambilan ubatan dan vaksin serta makan makanan semula jadi namun selepas sesetengah anggota dijangkiti, kumpulan itu memohon maaf dan berkata, ia menukar amalannya.

Satu lagi kelompok jangkitan campak tertumpu di sebuah kompleks di Osaka yang termasuk bangunan tertinggi Jepun, Abeno Harukas, di mana 21 pelanggan dan pekerja di satu pameran Hari Valentine dijangkiti virus terbabit.

Sejumlah kes dikaitkan dengan kanak-kanak yang kembali ke Jepun dari Filipina. Negara itu melaporkan jumlah meningkat kes campak dan kematian tahun ini dengan virus merebak dari Manila ke bahagian lain di Luzon.

Dalam enam minggu pertama 2019, lebih 9,000 kes dilaporkan termasuk 146 kematian, kata Jabatan Kesihatan Filipina.

Sumber : Berita Harian