Agama

Jerebu: Umat Islam dirikan solat sunat Istisqa

By  | 

PUTRAJAYA – Beberapa masjid di ibu negara dan Putrajaya malam ini menganjurkan solat sunat Istisqa bagi memohon hujan dan mengurangkan masalah jerebu.

Tinjauan MalaysiaGazette di Masjid Negara di sini mendapati sejumlah 250 jemaah mendirikan solat sunat itu selepas solat Isyak.

Solat diimamkan Ustaz Amru Alhaz Adnan.

Ustaz Amru Alhaz Adnan menyampaikan tazkirah ringkas selepas selesai mengimamkan solat sunat istiqa berikutan masalah jerebu yang melanda beberapa kawasan di Malaysia pada masa kini di Masjid Negara, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 09 SEPTEMBER 2019

Di Putrajaya, seramai 100 jemaah di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin turut mendirikan solat sunat sama selepas solat Isyak.

Selepas solat, imam Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Ustaz Mohd Radhi Abdul Ghani turut menyampaikan tazkirah tentang keperluan mendirikan solat sunat sunat berkenaan.

Katanya, ia bagi memohon kepada Allah agar menurunkan hujan bagi mengurangkan masalah jerebu yang kembali melanda negara.

Ia juga bertujuan untuk menurunkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di beberapa kawasan yang mencecah pada tahap sangat tidak sihat, kini.

Jabatan Alas Sekitar (JAS) dalam satu kenyataannya semalam memaklumkan tiada lokasi atau stesen di seluruh negara yang menunjukkan status kualiti udara pada tahap baik menerusi bacaan IPU oleh pihaknya.

Di Sarawak, empat kawasan dengan terbaharu Sarikei mencatat Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah 202 pada jam 8 pagi ini.

Tiga kawasan lain yang mencatat IPU melebihi 200 sejak semalam dan terus berada pada tahap sangat tidak sihat adalah Kuching (243), Samarahan (202) dan Sri Aman (244). -MalaysiaGazette