Luar Negara

Kejam, mulut anjing ditoreh sehingga kelihatan seperti ‘Joker’

By  | 

KEJAM dan tidak berperikemanusiaan. Itu adalah ungkapan yang sesuai bagi mereka yang tergamak mencederakan haiwan.

Baru-baru ini, tular di laman Facebook tentang kes penganiayaan seekor anjing betina berusia enam bulan di Korea yang ditemui oleh badan kebajikan haiwan di sana.

Apa yang menyedihkan, mulut anjing tersebut telah dikelar sehingga ke tulang pipi haiwan tersebut sehingga menyerupai watak antagonis dalam filem Batman iaitu Joker.

Gambar yang dimuatnaik di laman tersebut menunjukkan bekas kelaran yang dipercayai dibuat menggunakan pisau atau objek tajam yang dibakar.

Haiwan malang itu juga mempunyai kesan terbakar di kakinya dan turut luka di bahagian tapak kakinya.

Malah, kuku jari haiwan tersebut juga kelihatan seperti dipukul dengan objek keras sehingga menyebabkan anjing tersebut sukar berjalan.

Menurut penyelamat haiwan tersebut, ketika haiwan malang itu ditemui, mulutnya diikat sehingga menyukaran ia untuk minum dan makan.

Namun begitu, walaupun haiwan itu mengalami kecederaan yang agak teruk, penyelamat tersebut menyatakan bahawa anjing itu sangat mesra dan jinak kepadanya.

Anjing tersebut telah diberi rawatan secukupnya dan luka serta kecederaannya kelihatan semakin pulih.

Sumber : Awani