Politik

Kenapa MCA, MIC tak bantah boikot barangan bukan Islam

By  | 

KUALA LUMPUR – Lim Guan Eng hari ini mengecam MCA dan MIC kerana tidak menentang dan secara terang-terangan menyokong UMNO dan Pas bagi kempen memboikot barangan buatan bukan Islam.

“Walaupun kempen boikot seperti ini dilakukan, kita kesal kerana terdapat parti politik bukan Islam atau bukan bumiputera seperti MCA atau MIC yang tidak tahu mahu malu untuk meneruskan kerjasama politik dengan Pas dan UMNO.

“Setakat ini, mereka tidak berani untuk melahirkan bantahan mereka secara langsung kepada Pas dan UMNO memaparkan perbezaan antara pendekatan yang dipandu oleh konsensus melalui penglibatan aktif dan perbincangan di Pakatan Harapan dan arahan unilateral gabungan baru di bawah Pas dan UMNO,” kata Setiausaha Agung DAP itu hari ini.

Guan Eng juga mengkritik pemimpin-pemimpin Pas dan UMNO yang terus memberi sokongan kepada kempen tersebut.

Katanya, kempen boikot seumpama itu akan menyebabkan pengguna produk-produk dan perkhidmatan tertentu atau menyebabkan pengguna mengalami kerugian dari aspek harga dan kualiti yang lebih baik disebabkan promosi ideologi pelampau dan perkauman yang baharu.

Beliau yang Menteri Kewangan bersetuju dengan Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) bahawa kerajaan Persekutuan tidak menangani kempen berkenaan lebih awal.

Patriot baru-baru ini mempersoal cara kerajaan menangani gerakan boikot produk keluaran bukan Islam kerana tidak bertindak dengan cukup tegas untuk menghindarkan perkara itu daripada terus berleluasa.

Presiden Patriot, Arshad Raji berkata, anggota kabinet didapati teragak-agak untuk bertindak dan menunggu arahan daripada perdana menteri.

“Mereka seolah-olah tidak mampu berfikir atau tidak mempunyai sebarang pendirian,” kata Arshad dalam satu kenyataan.

Guan Eng mengakui kenyataan Patriot itu.

Ini kerana, katanya, hanya selepas kempen boikot dibuat secara terbuka dan disokong oleh pemimpin UMNO dan Pas serta mendapatkan tarikan awam apabila sensitiviti agama kaum dan ekstremis dimainkan, baru Putrajaya melihatnya berpotensi bahaya untuk perpaduan negara, kepelbagaian dan keharmonian agama. – MalaysiaGazette