Semasa

Kereta terbabas, anak masih berada dalam posisi yang sama.

By  | 

JIKA dilihat pada keadaan kereta milik sepasang suami isteri yang terbabit dalam kemalangan di Slim River, Perak, Isnin lalu, tiada siapa akan menyangka mereka terselamat dalam kejadian mendebarkan itu.

Itulah keajaiban dan percaturan Allah buat keluarga ini – paling penting anak kesayangan mereka Asytar Rizqi Akmal yang berusia empat bulan turut terselamat tanpa sebarang kecederaan.

Asytar pada hari kejadian, diletakkan dalam car seat oleh ibunya, Wan Zaymy Umaida Taib, 30, sepanjang perjalanan melawat saudara mereka di Batang Kali, Selangor.

“Selepas kereta terbalik keadaan menjadi sangat sunyi… perkara pertama yang dalam fikiran saya adalah Asytar! Saya menjerit sekuat hati memanggil namanya.

“Apabila dia menangis hanya Allah saja yang tahu betapa saya lega kerana tahu dia berada dalam keadaan selamat,” katanya ketika dihubungi mStar.

Keadaan kereta milik Wan Zaymy yang terbalik.

Wan Zaymy turut berkongsi kejadian itu menerusi Facebooknya yang sehingga kini mendapat hampir 4,000 perkongsian.

Bercerita lanjut mengenai detik cemas itu, Wan Zaymy memberitahu walaupun kereta yang dinaiki mereka bertiga terbalik namun car seat anaknya yang turut dipasang tali pinggang keledar masih berada dalam posisi sama.

“Dalam keadaan kereta terbalik, saya lega bila tengok car seat dan Asytar masih dalam keadaan baik dan cuba membuka kancing car seat untuk mengambilnya ke pangkuan saya.

“Suami dapat keluar kereta dahulu dan cepat-cepat ambil Asytar. Alhamdulillah syukur, Asytar terus berhenti menangis seperti tiada apa yang berlaku,” katanya.

Kereta boleh beli, anak tiada gantinya!

Sementara itu, Wan Zaymy memberitahu dia sebenarnya agak terlambat mengajar anaknya itu duduk di dalam car seat kerana berasa kasihan apabila Asytar menangis setiap kali diletakkan di tempat duduknya.

Kejadian itu turut dikongsi di Facebook. 

Bagaimanapun, selepas insiden ini dia sedar bahawa keputusan untuk membiasakan bayi mereka duduk dalam car seat adalah keputusan tepat selain Asytar semakin selesa berada dalam kerusinya sendiri.

“Selepas apa yang terjadi depan mata sendiri, saya nak beri kesedaran supaya ibu bapa di luar sana untuk didik anak anda duduk dalam car seat seawal usianya baru lahir.

“Tiada siapa tahu apa yang akan terjadi dalam hidup kita, jadi kita kena ambil tindakan pencegahan sebelum kita menyesal di kemudian hari.

“Walaupun kesian tapi hati kena kering bagi membiasakan anak duduk di tempatnya… Kereta boleh beli, nyawa anak tiada gantinya,” jelasnya.

Menceritakan tentang kemalangan itu, Wan Zaymy berkata, kejadian berlaku apabila suaminya, Akmal Borhanudin cuba membuka pusingan U selepas terlepas simpang untuk ke Batang Kali.

Wan Zaymy dan suami Akmal Borhanudin menasihatkan semua ibu bapa agar mengutamakan keselamatan anak-anak. 

Bagaimanapun ketika membuat pusingan itu, tayar kereta mereka tiba-tiba tersekat di dalam tanah selut yang menyebabkan kereta mereka tidak dapat bergerak.

“Suami cuba menekan minyak bagi menggerakkan kereta namun tidak berjaya dan selepas beberapa kali cubaan barulah kereta dapat keluar daripada tersekat dalam tanah selut itu.

“Bagaimanapun ketika berjaya keluar kereta terbabas ke laluan bertentangan sebelum terbalik,” kongsinya.

Sementara itu, Meme memberitahu anaknya disahkan berada dalam keadaan baik selain tidak mempunyai tanda-tanda serius akibat kemalangan itu selepas dibawa berjumpa doktor.

“Alhamdulillah Asytar sangat aktif selepas kejadian itu… Allah melindungi Asytar yang tidak berdosa serta kami sekeluarga untuk terus diberi peluang menjaga anak kami sehingga akhir hayat.

“Malah car seatnya juga masih berada dalam keadaan baik,” katanya.

MSTAR