Semasa

Kereta uzur pintu hampir tercabut jalan sejauh lebih 300km?

By  | 
Sebahagian pengguna media sosial ragu-ragu dengan hantaran kereta uzur mampu membuat perjalanan jauh. — Foto ihsan Twitter/NanaRafidi

KUALA LUMPUR, 13 Sept — Sebuah kereta Kancil yang uzur dan penuh contengan dengan pintu bahagian pemandu hampir tercabut membuat perjalanan sejauh lebih 300 kilometer?

Dimuat naik Malaysian Crime Watch — MyWatch ke Facebook malam tadi, kereta itu dicam beberapa pengguna media sosial kerap dilihat sekitar Kuala Lumpur walaupun keterangan video menyatakan rakaman diambil di Seberang Prai, Pulau Pinang.

Kebanyakan mereka mendakwa kereta yang dimuatkan dengan sampah pernah dilihat di bulatan Pahang, Selayang, Jalan Ipoh, Jalan Tun HSS Lee di sini selain segelintir mendakwa kenderaan sama pernah kelihatan di Politeknik Seberang Perai.

“Ada terjumpa kereta ni. Ingat rosak dekat round(a)bout bulatan Pahang,” kata Usama Mazlin terhadap hantaran Twitter video sama yang dimuat naik Datuk Seri Sanjeevan Ramakrisnan, pengerusi badan bukan kerajaan (NGO) itu.

“Kali terakhir nampak di Petronas Permatang Pauh/ Politeknik Seberang Perai,” kata Balachandran Nair yang mengulas hantaran sama.

“Seriously (Serius) dekat Penang (Pulau Pinang)? Tiga hari hari lepas nampak dekat Jalan Rawang-Selayang,” kata Ernaz MN.

“Bulan lepas nampak dekat kedai tayar Jalan Ipoh, KL. Pancit agaknya.. Tapi masa tu pintu kereta dia tak rabak cam sekarang. Impressed (Kagum) jugak sebab kereta dia boleh jalan lagi,” tulis Mizz Beba.

Namun, tidak kurang juga warga maya yang mengecam pentadbir akaun berkenaan susulan keterangan video yang dianggap mereka tidak benar.

“Admin (pentadbir) sengal. Main bedal je kat Penang,” kata Midi Zamzury.

“Bro ni kat Petaling Street, depan kuil India area (kawasan) belakang tu,” kata Juan pula.

Ada juga pengguna media sosial menyindir ahli parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil yang baru-baru ini memuat naik foto kereta uzur ke Twitter empat hari lalu sebelum beliau memohon maaf.

“Dapat kat ahli politik, dia gelak dan bahan dalam Twitter. Dia bersenang-lenang lima angka gaji,” kata Ujang Khairullah.

Fahmi sebelum ini menyebut kereta itu “macam kereta perang” yang “bukan cukup sifat” tapi “cukup syarat” sebelum beliau dikecam warga maya kerana dianggap menghina pemilik kenderaan itu. – projekMM