Semasa

Lelaki ditemukan lemas

By  | 

LELAKI berusia 50-an ditemukan lemas oleh pemancing udang di kawasan pantai di hadapan Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru malam tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, mangsa, Yusery Hashim ditemui 9.50 malam kira-kira 0.6 meter dari pantai di hospital itu.

Katanya, petugas Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis (IPD) JBS menerima maklumat dari orang awam berkenaan satu kes mati lemas di hadapan HSA, 9.55 malam.

“Siasatan mendapati, mayat ditemui orang awam yang sedang menjala udang di tepi pantai terbabit sebelum menghubungi polis.

“Pihak bomba dan penyelamat menarik si mati ke tepi pantai dan pemeriksaan mendapati tiada kecederaan atau unsur jenayah pada simati,” katanya.

Katanya, siasatan mendapati si mati yang berbadan kurus memakai baju-T berwarna hitam tanpa kolar berlengan pendek dan berseluar panjang paras lutut celoreng biru, putih dan hitam.

“Si mati dipercayai baru meninggal dunia bersasarkan keadaan mayat yang masih segar,” katanya.

Katanya, mayat yang beralamat di Taman Perling Johor Bahru, dihantar ke HSA untuk bedah siasat dan waris si mati sedang dikesan.

“Tiada unsur jenayah atau khianat dalam kejadian ini dan siasatan menjurus kepada mati mengejut,” katanya.

Terdahulu tular di media sosial mengenai kejadian individu dikhuatiri lemas dikongsi di beberapa laman sosial sejak malam tadi.

Sumber : Hmetro