Semasa

Lelaki kurang siuman lemas dalam lombong

By  | 

BATU GAJAH: Seorang lelaki berusia 43 tahun ditemui lemas selepas dipercayai terjun ke dalam lombong akibat ketakutan kerana terbabit kemalangan di Lorong Cikgu Suri Kampung Bakap Baru, Jalan Tanjung Tualang, di sini malam tadi.

Difahamkan, mangsa, Mohd Adha Mohd Arif bertindak melarikan diri ke kawasan lombong berdekatan selepas motosikal ditungganginya hilang kawalan dan terbabas ke jalan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah motosikal lain.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian kemalangan itu jam 8 malam sebelum anggota polis bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, anggota yang tiba dimaklumkan oleh orang awam terdapat kemalangan membabitkan dua motosikal sebelum mendapati salah seorang penunggang motosikal sudah masuk ke dalam lombong akibat ketakutan dan disyaki lemas.

“Bomba dipanggil untuk mengesan mangsa sebelum mayatnya ditemui kira kira 10 meter dari gigi jalan di dalam kawasan lombong sebelum mayatnya dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Batu Gajah untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Mayatnya ditemui oleh pasukan bomba yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat di lombong berkenaan jam 9 malam.

Tambah Ahmad Adnan, seorang lagi penunggang motosikal berusia 35 tahun dan bekerja sebagai pekerja kilang yang turut terbabit dalam kemalangan itu, cedera parah.

“Seorang lagi mangsa kemalangan itu dibawa ke hospital sama bagi mendapatkan rawatan selepas patah kaki kiri,” katanya.

Ahmad Adnan berkata, hasil percakapan keluarga mangsa mendapati mangsa mengalami seorang yang kurang siuman dan pernah mendapatkan rawatan di Hospital Tanjung Rambutan pada 2014.

Menurutnya, bedah siasat akan dijalankan jam 10 pagi hari ini dan setakat ini kes disiasat sebagai mati mengejut.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Gajah, Mohd Jamaluddin Mat Yusop, berkata pihaknya menemui mayat mangsa dalam lombong berkenaan pada kedalaman kira-kira tiga meter sebelum mengangkat mayat mangsa ke tebing dan operasi mencari dan menyelamat tamat jam 10.15 malam.