Jenayah

Lelaki Warga Switzerland Ditemui Maut Tergantung

By  | 

Seorang lelaki warga Switzerland ditemui maut dalam keadaan leher tergantung di sebuah kediaman di Kampung Tenglu Laut, dekat sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edward Nuing, berkata mayat Nicola Simone, 59, yang tidak diketahui pekerjaannya, dijumpai kira-kira jam 9 pagi.

“Terdahulu, seorang lelaki berusia 40-an datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing memaklumkan mengenai seorang penyewa rumah, iaitu lelaki warga Switzerland, tidak membuka pintu selepas dipanggil beberapa kali.

“Bertindak atas maklumat awam, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Mersing bergegas ke lokasi kejadian.

“Selepas memecahkan pintu berkunci dari dalam, polis menemui mayat lelaki dengan leher tergantung pada tali diikat di alang pintu antara ruang bilik tidur dengan dapur,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Cyril Edward berkata, pemeriksaan mendapati barang peribadi mangsa, termasuk dompet, wang dan telefon bimbit, masih ada di tempat kejadian.

Beliau berkata, menurut saksi, mangsa menyewa di rumah terbabit sejak kira-kira tiga bulan lalu, selain kali terakhir dilihat pada petang semalam.

“Mayat dihantar ke Hospital Daerah Mersing untuk bedah siasat. Punca kematian belum diketahui dan polis masih menjalankan siasatan,” katanya.

Sumber : Bharian