Semasa

Lima didakwa culik ahli perniagaan

By  | 

OHOR BAHRU: Lima lelaki termasuk seorang pesakit jantung yang masih menjalani rawatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menculik ahli perniagaan dan meminta tebusan RM1.8 juta, bulan lalu.

Tio Siang Foo, 54, yang dibawa keluar sementara dari Hospital Sultanah Aminah (HSA) didakwa bersama empat rakannya, Ma Kai Chun, 40; Chiam Eng Long, 38; Lai Wai Leong, 52 dan Hew Foo Soo, 59.

Mereka didakwa secara bersama menculik seorang lelaki berusia 57 tahun dan meminta wang tebusan RM1.8 juta di Jalan Belibis, Taman Perling, pada 27 Januari lalu.

Semua tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan dan tiada jaminan ditawarkan di hadapan Majistret Rasidah Baharom, yang menetapkan tarikh sebutan kes pada 17 April depan sementara menunggu laporan kimia.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Asmah Zainal Ariffin manakala semua tertuduh diwakili peguam Ahmad Yusri Ahmad Fuad.

Terdahulu, Siang Foo yang berkemeja putih meminta beberapa pengamal media yang merakam gambarnya serta empat lagi tertuduh menjaga langkah dan berhati-hati supaya tidak terjatuh.

Dia juga sempat memberitahu perlu banyak berehat kerana sakit.

Selain sakit jantung, Siang Foo mengalami masalah buah pinggang dan katarak hingga menjejaskan penglihatannya.

Beberapa ahli keluarga tertuduh berada di perkarangan mahkamah bagi mengikuti pendakwaan kes berkenaan.

@beritaharian